SUKAN > BERITA

TERBUKA ARTIK: HON JIAN-MUHAMMAD HAIKAL KEJUTKAN BEREGU DENMARK, MARA KE SEPARUH AKHIR

11/10/2025 09:27 AM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, mencipta kejutan apabila menewaskan pasangan pilihan ketiga Kim Astrup-Anderson Skaarup Rasmussen untuk mara ke separuh akhir Arctic Open 2025 di Vantaa, Finland, pada Jumaat.

Pasangan tidak tersenarai sebagai pilihan itu mengambil masa 39 minit untuk menyingkirkan lawan mereka dengan keputusan 23-21, 21-15 pada aksi suku akhir kejohanan bertaraf Super 500 yang berlangsung di Vantaan Energia Areena.

Hon Jian-Muhammad Haikal bakal menentukan slot ke final menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, selepas pasangan itu mengejutkan pilihan keenam dari China, Chen Bo Yang-Liu Yi, 21-16, 21-12.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara yang juga pilihan pertama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, terpaksa berhempas pulas sebelum muncul pemenang menentang pasangan Taiwan tidak tersenarai, Liu Kuang Heng-Yang Po Han, 21-19, 19-21, 21-17.

Juara dunia 2022 itu akan berdepan pasangan pilihan kelapan dari Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, selepas mereka bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan mengejut ke atas pilihan keempat dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 19-21, 21-14, 21-19.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan