SUKAN > BERITA

BAM HASRAT TAMBAH JURULATIH BEREGU LELAKI

14/10/2025 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhasrat untuk mengambil seorang lagi jurulatih beregu lelaki bagi memperkukuh lagi sektor berkenaan.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata langkah itu diambil susulan permintaan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky, yang mahu memastikan setiap pasangan beregu mendapat perhatian dan pemantauan lebih menyeluruh.

“Saya boleh mengesahkan memang ada permintaan daripada Rexy untuk menambah seorang lagi jurulatih.

“Kami kini dalam proses temu duga beberapa calon,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pengurus Pasukan ke Temasya Sukan SEA Thailand di Wisma Majlis Olimpik Malaysia hari ini.

Kenny berkata keputusan itu juga selepas pihaknya mendapati nisbah antara jurulatih dan pasangan beregu ketika ini tidak seimbang.

“Kalau kita lihat sekarang, dua jurulatih untuk 10 pasangan. Jadi memang perlu ditambah bagi memastikan latihan dapat dijalankan secara lebih fokus dan efektif,” katanya.

Mengenai senarai akhir pemain yang bakal mewakili negara di Sukan SEA Thailand, Kenny berkata pengumuman rasmi dijangka dibuat selewat-lewatnya Sabtu ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan