KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Skuad hoki dalam dewan lelaki negara lebih selesa membawa status bukan pilihan atau underdog dalam misi memburu emas Sukan SEA 2025 di Thailand Disember ini, kata ketua jurulatihnya Muhamad Amin Rahim.
Beliau berkata ini bagi memastikan anak buahnya turun tanpa tekanan sekali gus mengekalkan fokus merampas semula pingat emas yang terlepas kepada Indonesia pada temasya lepas.
“Saya tahu potensi skuad ini, kita mampu bersaing dengan mana-mana pasukan. Standard kita ada sebab Malaysia antara pasukan dari Asia yang berjaya layak ke Piala Dunia 2025 di Croatia, Februari lepas.
“Jadi lebih baik kita low profile dan pergi dengan matlamat untuk bawa balik pingat emas,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu lawatan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 Jivan Mohan di venue latihan skuad hoki dalam dewan di sini malam ini.
Muhamad Amin berkata anak buahnya juga menyedari tanggungjawab mengembalikan maruah sukan hoki negara selepas sekadar membawa pulang pingat perak pada edisi lepas di Phnom Penh.
Sejak kembali melatih skuad negara tiga minggu lepas, beliau mengakui tidak berdepan sebarang masalah untuk mencipta keserasian antaranya dan para pemain memandangkan 80 peratus daripada mereka pernah bersamanya dari 2017 hingga 2022.
Sementara itu, beliau berkata skuad kebangsaan berkemungkinan menjalani persiapan fasa akhir menghadapi Sukan SEA 2025 dengan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Eropah bulan depan.
Muhamad Amin pernah membimbing Malaysia memenangi emas hoki dalam dewan dua kali berturut-turut pada edisi 2017 di sini dan 2019 di Filipina.
Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini, melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial