KUALA NERUS, 17 Okt (Bernama) -- Pasukan Terengganu FC (TFC) perlu mencari bekalan selesa apabila berhadapan Kuching City FC pada aksi pertama suku akhir Piala FA di laman sendiri malam esok.
Ketua jurulatih Badrul Afzan Razali berkata skuad Penyu perlu mencipta kemenangan dan mencari seberapa banyak jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sebagai kelebihan untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Beliau mahu anak buahnya lebih fokus serta mengelak melakukan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan pasukan dihukum dengan jaringan pihak lawan.
"Manfaatkan aksi pertama di laman sendiri dan di hadapan penyokong untuk mencipta seberapa banyak gol bagi bekalan ke aksi timbal balik di Sarawak nanti.
"Alhamdulillah, semua pemain bebas daripada kecederaan kecuali Akhyar (Muhammad Akhyar Rashid) yang masih dalam proses pemulihan akibat masalah buku lali," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, pemain sayap Muhammad Baqiuddin Shamsudin meminta rakan sepasukannya berwaspada dengan barisan serangan skuad The Cats yang mampu menggegar kubu pertahanan Sang Penyu.
Pasukan bimbingan Aidil Sharin Shahak itu antara pasukan digeruni pada musim ini kerana dibarisi pemain tempatan dan import berpengalaman, selain aksi yang konsisten pada setiap perlawanan.
"Perkara paling perlu kita risaukan ialah jentera serangan Kuching City yang pantas dan tajam. Namun, apa pun saya akan cuba memberi persembahan terbaik jika diturunkan malam esok.
“Harapan saya untuk mencetak gol pertama malam esok kerana belum ada sebarang jaringan pada musim ini," katanya sambil menambah turut mengharapkan kehadiran penyokong pada perlawanan esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial