SUKAN > BERITA

SOJC: TEWAS KEPADA INDIA, MALAYSIA JUMPA NZ BURU TEMPAT KELIMA

17/10/2025 11:04 PM

JOHOR BAHRU, 17 Okt (Bernama) -- Skuad Young Tigers menamatkan saingan pusingan liga Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 dengan mengutip empat mata selepas tewas 2-1 kepada India di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.

Dengan keputusan itu, skuad remaja negara bimbingan Nor Saiful Zaini bakal berdepan New Zealand bagi penentuan tempat kelima dan keenam, esok.

Babak pertama menyaksikan India mendominasi hampir keseluruhan permainan dengan penguasaan bola dan ketepatan hantaran di kawasan tengah, sekali gus memaksa Young Tigers bertahan di kawasan sendiri tanpa sebarang jaringan terhasil.

India membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Gurjot Singh pada suku kedua.

Skuad negara akhirnya menyamakan kedudukan menerusi P. Naaveenesh yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-43, namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila India kembali di depan hasil jaringan K. Sourabh Anand, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-48.

Sementara itu, Nor Saiful ketika ditemui selepas perlawanan berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan pemain muda meskipun tewas tipis.

Menurutnya, anak didiknya mempamerkan disiplin taktikal yang baik selain berjaya memberi tentangan sengit kepada India yang dibarisi pemain berpengalaman termasuk pernah beraksi dalam liga dan kejohanan antarabangsa utama.

“Saya puas hati dengan pemain sebab kalau tengok dari segi permainan, mereka kawal bola dengan baik. Pemain India ini ramai main dalam Indian League dan World League, jadi memang sukar nak ambil bola daripada mereka.

“Tapi dengan taktikal kita, kita masih mampu tembusi kawasan mereka dan cipta peluang,” katanya.

Beliau menegaskan kekalahan tipis kepada pasukan berstatus tinggi seperti India jelas menunjukkan peningkatan prestasi skuad muda negara yang kini dalam fasa persiapan ke Piala Dunia Remaja Lelaki 2025 di India dari 8 Nov hingga 10 Dis ini.

Sementara itu, New Zealand mengikat Great Britain 2-2, manakala Pakistan seri 3-3 dengan Australia.

Keputusan itu memastikan India akan berdepan Australia di pentas final esok.

Dalam aksi lain, Pakistan akan menentang Great Britain untuk merebut tempat ketiga manakala Malaysia akan menghadapi New Zealand bagi penentuan tempat kelima.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan