SUKAN > BERITA

PENGURUSAN PASUKAN KEBANGSAAN TIDAK TERLIBAT PROSES DOKUMENTASI - ROB FRIEND

17/10/2025 10:56 PM

PETALING JAYA, 17 Okt (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya Rob Friend hari ini menjelaskan bahawa pengurusan pasukan kebangsaan tidak terlibat dalam dokumentasi atau proses pendaftaran tujuh pemain warisan yang kini dalam siasatan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Friend berkata pasukannya hanya terlibat selepas FIFA secara rasmi meluluskan kelayakan pemain untuk mewakili Malaysia.

"Kami tidak terlibat dalam mana-mana pendaftaran dokumentasi. Tetapi kami bersedia dan ada apabila pemain ini diterima oleh FIFA.

“...sebaik sahaja pendaftaran dokumentasi selesai, FIFA akan mengeluarkan dokumen yang meluluskan pemain untuk bermain dengan pasukan kebangsaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata keutamaannya kini adalah untuk melindungi integriti pasukan kebangsaan dan hal itu mendorongnya untuk melibatkan pakar undang-undang antarabangsa terkemuka termasuk Serge Vittoz bagi membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempertahankan kes itu selepas FIFA memulakan prosiding tatatertib terhadap badan tersebut dan para pemain berkenaan pada 22 Ogos.

“Mereka adalah pemain yang telah berjuang untuk negara ini. Mereka mewakili negara ini. Mereka rakyat Malaysia. Tanggungjawab saya adalah untuk melindungi pemain ini, melindungi integriti pasukan kebangsaan," katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram mengumumkan Vittoz sebagai peguam badan itu, yang juga merupakan peguam sukan antarabangsa daripada firma guaman berpangkalan di Geneva dan London, Charles Russell Speechlys.

Friend berkata beliau juga telah pergi ke pejabat undang-undang FIFA di Miami, Amerika Syarikat untuk lebih memahami apa sebenarnya berlaku dalam isu tujuh pemain warisan berkenaan.

Friend, yang dilantik lewat tahun lepas, merupakan pemimpin utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.

Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain naturalisasi - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel - dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Dalam kenyataan sebelum ini, FIFA memaklumkan FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF 2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.

Dalam penjelasan sebelum ini, FAM menyatakan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen melibatkan tujuh pemain berkenaan yang dilakukan oleh seorang pegawai pentadbiran.

FAM turut tidak menolak kemungkinan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya rayuan di peringkat FIFA tidak membuahkan hasil positif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan