SUKAN > BERITA

GAMEL PUJI SEMANGAT JUANG, KEKENTALAN PERTAHANAN RED GIANTS 

19/10/2025 01:57 PM

SEREMBAN, 19 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih sementara Selangor FC Christophe Gamel memuji anak buahnya yang menunjukkan semangat juang serta disiplin mantap selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Jurulatih kelahiran Perancis itu berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan, khususnya kemampuan mempertahankan rekod tanpa bolos sambil mengekalkan corak permainan menyerang.

“Saya lebih gembira malam ini kerana gawang kami tidak dibolosi. Kelemahan sebelum ini banyak di bahagian pertahanan, namun malam ini pemain menunjukkan peningkatan yang ketara,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Beliau berkata Selangor menampilkan kesungguhan dan keazaman untuk memburu jaringan sekali gus menyerlahkan ketajaman dari segi serangan.

Gamel berkata pasukan memiliki semangat untuk membuktikan kemampuan menghasilkan gol dan kekuatan serangan jelas dipamerkan menerusi aksi malam tadi.

Sementara itu, Gamel memuji aksi cemerlang pemain sayap Muhammad Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim yang disifatkannya sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Pendapat saya dia pemain terbaik malam ini, tetapi saya tidak gemar menganggap seorang pemain lebih baik daripada yang lain. Namun, dia telah memainkan peranannya dengan baik,” katanya sambil menambah kekuatan mental dan dedikasi tinggi Faisal menjadi kunci kepada prestasinya.

Gamel turut menyuarakan keyakinan terhadap beberapa pemain muda seperti Muhamad Syahir Bashah dan Ahmad Zikri Mohd Khalili yang menunjukkan peningkatan prestasi serta kematangan dalam permainan. 

Juara lima kali Piala FA, Selangor FC kini memiliki kelebihan selesa menjelang aksi suku akhir kedua selepas membenam NSFC 4-0 pada perlawanan pertama, hasil dua jaringan Faisal Halim serta masing-masing satu gol daripada pemain import, Chrigor Flores Moraes dan Zach Paul John Clough.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih NSFC Mohd Nidzam Jamil mengakui Selangor FC mempunyai kualiti permainan lebih baik walaupun anak buahnya berhasil mencipta berapa peluang terutama pada separuh masa kedua, namun tiada penyudah yang baik.

Mohd Nidzam berkata pasukannya perlu terus bekerja keras meningkatkan lagi tahap prestasi selain berusaha memperbaiki setiap kelemahan pada aksi seterusnya di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 29 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan