SUKAN > BERITA

TUNKU ABDUL RAHMAN RAIH NAIB JUARA GT WORLD CHALLENGE ASIA 2025

20/10/2025 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim menamatkan kempen musim perlumbaan GT World Challenge Asia 2025 dengan cemerlang apabila muncul naib juara keseluruhan bagi kategori Pro-Am pada pusingan akhir di Beijing, China semalam. 

Menurut kenyataan Johor Motorsports Racing (JMR), dua jentera pasukan Chevrolet Corvette Z06 GT3.R mempamerkan prestasi mantap di litar serba baharu Beijing Street dengan keputusan podium berganda pada penutup musim berkenaan. 

Dalam perlumbaan pembukaan, pemandu profesional Alexander Sims dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim yang memandu Corvette #66 menamatkan saingan di tempat kedua manakala Tunku Abdul Rahman dan Ben Green dengan #99 di tempat keenam selepas dikenakan penalti semasa hentian pit. 

Perlumbaan akhir berakhir di bawah kawalan kereta keselamatan dengan Green dan Tunku Abdul Rahman menamatkan saingan di tempat kedua untuk mengesahkan kedudukan naib juara kategori Pro-Am dan ketiga keseluruhan GT World Challenge manakala Sims dan Tunku Abu Bakar menamatkan perlumbaan di tempat kelima. 

“Perasaan saya bercampur baur ketika ini. Saya memang ingin menang, kami mempunyai peluang dan begitu hampir, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana sebahagian besar perlumbaan berada di bawah kawalan kereta keselamatan. Namun begitu, saya amat bersyukur dengan pasukan.

“Ini merupakan tahun pertama kami dengan Corvette dan pasukan melakukan tugas yang cemerlang. Satu penghormatan dapat bekerjasama dengan mereka. Hari ini bukan hari kami, tetapi kami telah menunjukkan kemampuan sebenar dan itu patut dibanggakan,” kata Tunku Abdul Rahman dalam kenyataan itu. 

Sementara itu, Tunku Abu Bakar berkata: “2025 merupakan musim yang mencabar untuk saya tetapi saya gembira dapat menamatkan perlumbaan dengan baik dengan beberapa podium pada perlumbaan terakhir. Masih banyak perlu diperbaiki dan saya menantikan musim akan datang.” katanya. 

 Dengan berakhirnya musim GT World Challenge Asia, tumpuan JMR kini pada perlumbaan siri Asian Le Mans yang akan bermula di Litar Antarabangsa Sepang dari 13 hingga 14 Dis. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan