Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman
KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Sebelum Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia (MPL MY) musim ke-16 membuka tirai pada September 2025, pasukan CG Esports sekadar disebut-sebut sebagai pasukan pelengkap pertandingan.
Meskipun dinaikkan pangkat selepas bergelar juara Liga Akademi MLBB (MAL) musim ketiga, ia belum cukup untuk meletakkan mereka sebagai pencabar yang digeruni, berbanding pasukan berpengalaman seperti Vamos, Homebois dan Monster Vicious yang memiliki ramai pemain berbakat serta rekod konsisten.
Namun selepas beberapa perlawanan, skrip itu mula berubah. Pasukan yang sebelum ini berstatus bukan pilihan mula menunjukkan taring dan kemuncaknya pada pusingan kalah mati apabila menewaskan Monster Vicious pada final lower bracket, sekali gus mara ke grand final MPL MY dan layak ke Kejohanan Dunia M7.
Di mata peminat dan pemerhati, perjalanan CG bagaikan sebuah mimpi indah. Namun hakikatnya, ia tidak mudah kerana menuntut pengorbanan dan perlu menempuh pelbagai rintangan, kekalahan yang memeritkan serta detik sukar sebelum akhirnya berdiri sebagai pencabar utama di pentas tertinggi.
“Dari luar nampak seperti semuanya berjalan lancar tetapi sebenarnya banyak cabaran dihadapi. Contohnya senarai pemain, ada salah faham antara pemain dengan jurulatih, sesama jurulatih, sesama pemain dan sebagainya.
“Banyak sebenarnya, cuma Alhamdulillah ia berjaya diatasi satu demi satu,” kata pemain merangkap pemilik pasukan CG Muhammad Danial Mohamad Fuad atau mesra disapa CikuGais.
Itu hanyalah satu daripada pelbagai jilid tempuh. Namun hakikatnya, langkah demi langkah yang dilalui CG membuktikan kehadiran mereka di pentas dunia bukan sekadar cakap kosong.
Pasukan yang ditubuhkan pada 2024 itu bermula hanya bermodalkan pengalaman pemiliknya yang juga merupakan pemain profesional.
Namun, perancangan rapi dan disiplin tinggi telah mengatur gerak langkah pasukan sehingga ke tahap yang kini menjadi perhatian serta dicemburui ramai.
“Kesemua ahli pasukan ini sangat komited sehinggakan kadangkala tidak mempunyai banyak masa dengan keluarga. Sebagai contoh CikuGais sendiri yang hanya dapat meluangkan masa bersama anaknya pada hujung minggu sahaja.
“Ini adalah pengorbanan yang orang tak nampak. Apa yang mereka lakukan adalah untuk komuniti MLBB di Malaysia dan juga mengharumkan nama negara di pentas dunia,” kata penganalisis CG Mariah Ahmad.
Sementara itu, pengurus pasukan CG Esports Aidil Ziyad menyifatkan mimpi indah CG ini tidak ubah seperti kejayaan Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) 2015-2016.
Menurut Aidil, meskipun skripnya sedikit berbeza, kedua-dua pasukan bermula dari bawah tanpa diletakkan harapan besar, namun akhirnya berjaya mengatasi segala kemungkinan.
“Kita akan cuba buat yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya.
Kemunculan CG di kejohanan dunia membawa makna tersendiri kepada landskap e-sukan apabila sebuah organisasi yang dibina daripada asas pemain sendiri kini berdiri sebaris wakil lain di pentas global.
Ia sekali gus mengangkat naratif bahawa kerja keras akhirnya mampu diterjemah kepada pencapaian yang nyata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial