KUALA LUMPUR 21 Okt (Bernama) -- Ketua Jurulatih Sepak Takraw Negara Ahmad Jais Baharun menyifatkan undian bagi skuad lelaki dalam acara kuadran, regu dan regu berpasukan pada Sukan SEA 2025 di Thailand sebagai seimbang.
Ahmad Jais berkata meskipun skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat kalah mati, beliau tetap mengingatkan para pemain agar tidak memandang rendah cabaran lawan apabila turun beraksi dalam setiap perlawanan.
“Bagi saya undian kali ini boleh dianggap seimbang. Fokus kami sudah tentu mahu melepasi peringkat kumpulan dan mara ke final.
“Jadi, kami tidak boleh pandang rendah pasukan lawan dan fokus untuk memperkemaskan lagi prestasi setiap kali turun bermain,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pada majlis undian yang berlangsung di Bangkok Ahad lepas, regu berpasukan lelaki negara mendapat undian mudah apabila diletakkan dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Filipina dan Singapura.
Bagi acara regu pula, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Laos dan Vietnam, manakala acara kuadran skuad negara berada dalam Kumpulan B yang turut menampilkan Laos, Kemboja, Singapura, Brunei dan Vietnam.
Sementara itu, mengulas mengenai skuad wanita, Ahmad Jais mengakui laluan sukar bakal ditempuh para pemain apabila diundi bersama Thailand bagi acara regu berpasukan dan kuadran.
Beliau bagaimanapun tetap optimis skuad wanita negara tidak akan pulang dengan tangan kosong dan berharap mereka mampu membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Pada edisi lepas, skuad sepak takraw negara meraih empat pingat perak dan empat gangsa secara keseluruhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial