SUKAN > BERITA

MUNOZ PUJI INTENSITI, DISIPLIN JDT SELEPAS BENAM DPMM FC 10-0

26/10/2025 11:17 AM

ISKANDAR PUTERI, 26 Okt (Bernama) -- Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz memuji anak buahnya kerana mengekalkan intensiti dan disiplin sehingga berupaya membenam DPMM FC 10-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi. 

Munoz berkata kemenangan bergaya itu mencerminkan kefahaman pasukan terhadap proses serta corak permainan diterapkannya, yang menekankan semangat dan usaha pemain dari awal hingga tamat perlawanan. 

“Ini kemenangan besar. Penting untuk kami terus bermain selama 90 minit hingga wisel penamat. Saya boleh mengucapkan tahniah kepada mereka kerana beraksi cemerlang. Kini kami perlu fokus untuk perlawanan seterusnya dalam tempoh 48 jam,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan. 

Munoz berkata keputusan menggandingkan penyerang berbeza termasuk Bergson Da Silva, Jairo Da Silva dan Romel Morales secara giliran dibuat bagi mengekalkan fleksibiliti, keserasian dan keseimbangan taktikal di bahagian serangan berikutan jadual perlawanan padat. 

“Lazimnya tidak semua boleh bermain 65 perlawanan semusim. Kami memerlukan keserasian baik antara penyerang… Bergson dengan Romel, Bergson bersama-sama Jairo dan Jairo dengan Romel. Kami bertuah kerana mempunyai penyerang seperti mereka dalam pasukan,” katanya. 

Mengulas aksi Manuel Hidalgo, Munoz berkata pemain dari Argentina itu bermain dengan baik dan menunjukkan keupayaan serba boleh untuk berada pada posisi sayap dan pertahanan, seperti diharapkan daripada pemain tersebut dalam setiap permainan. 

Munoz juga menekankan keupayaan barisan pemain untuk menyesuaikan corak permainan mengikut lawan, sama ada yang bermain secara bertahan atau beraksi dengan tekanan tinggi, menunjukkan evolusi taktikal dalam pasukan. 

Sementara itu, ketua jurulatih DPMM James McAllister mengakui kad merah diterima pemain pertahanan Muhd Syafiq Safiuddin Abd Shariff pada separuh masa pertama memberi kesan besar kepada perlawanan. 

“Apabila menentang pasukan terbaik dalam liga, anda perlu mengekalkan 11 pemain di padang. Beraksi dengan 10 pemain menentang JDT menjadikan ia hampir mustahil,” katanya. 

McAllister berkata pemainnya bermula dengan baik namun hilang tumpuan di benteng pertahanan pada saat-saat penting, menjadikan pengalaman itu penting untuk dijadikan pengajaran kepada pasukan. 

“Ini kekalahan sukar diterima tetapi kami perlu belajar, menyesuaikan diri dan terus mara. Menentang pasukan berkualiti seperti JDT mengajar kami kualiti yang perlu dicapai,” katanya. 

Dalam perlawanan itu, Bergson muncul penjaring utama dengan empat gol termasuk satu penalti, diikuti jaringan Oscar Aribas, Manuel Hidalgo, Arif Aiman Mohd Hanapi, Jairo, dan Romel, manakala satu lagi gol diperoleh hasil jaringan sendiri pemain DPMM FC Pengiran Yura Indera Putera Pengiran Yunos, menjadikan JDT menang besar 10–0.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan