SUKAN > BERITA

KEMENANGAN KE ATAS MELAKA FC SUNTIK SEMANGAT TRW HADAPI SABAH FC

25/10/2025 02:51 PM

KOTA BHARU, 25 Okt (Bernama) -- Kemenangan ke atas Melaka FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi menjadi suntikan semangat buat skuad Kelantan The Real Warriors (TRW) menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala FA menentang Sabah FC.

Penolong Ketua Jurulatih Kelantan TRW, Akmal Rizal Rakhli, berkata kemenangan itu amat penting bagi pasukan yang kini menumpukan persiapan menghadapi pertemuan kedua di Kota Kinabalu pada 29 Okt ini.

“Dalam aksi pertama di tempat sendiri kami tewas 1-2 kepada Sabah FC, jadi kami perlu menang di Sabah. Kemenangan malam ini memberi keyakinan dan semangat baharu kepada pemain untuk terus bersaing merebut slot ke separuh akhir,” katanya kepada pemberita di sini.

Pada aksi malam tadi, Kelantan TRW menewaskan Melaka FC 2-1 hasil jaringan Michael Ozor pada minit ke-36 dan Muhammad Danial Haqim pada minit ke-89, manakala gol tunggal Melaka FC dijaringkan pemain import Juan Silva menerusi sepakan penalti pada masa tambahan babak kedua.

Akmal Rizal turut memuji komitmen pemain yang beraksi bersungguh-sungguh biarpun berdepan keadaan padang licin akibat hujan.

“Kemenangan ini bukan mudah. Permukaan padang licin menyebabkan beberapa perancangan taktikal tidak dapat dilaksanakan, namun disiplin dan kesungguhan pemain amat membanggakan.

“Kejayaan ini bukan sahaja membantu memperbaiki kedudukan kami dalam carta Liga Super, tetapi juga menambah keyakinan menjelang aksi di Kota Kinabalu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan