SUKAN > BERITA

HAKIM DANISH LAKAR SEJARAH TERIMA TAWARAN KONTRAK PROFESIONAL MSI RACING - ZULFAHMI

26/10/2025 01:40 PM

SEPANG, 26 Okt (Bernama) -- Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli melakar sejarah baharu menerusi penawaran kontrak penuh untuk beraksi bersama MSi Racing Team dalam kelas Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.

Pengurus pasukan SIC Racing Zulfahmi Khairuddin berkata tawaran diterima pelumba berusia 18 tahun itu berbeza daripada kebanyakan pelumba Asia lain yang biasanya memerlukan komitmen kewangan besar, sekali gus menjadikan peluang ini antara paling istimewa buat pelumba muda Malaysia.

Beliau berkata tawaran itu juga berbeza sepenuhnya berbanding situasi ketika Syarifuddin Azman atau Damok beraksi pada musim penuh Moto3 tahun lepas, yang memerlukan sokongan kewangan tinggi.

“Kali ini, MSI menawarkan kontrak profesional sebenar kepada Hakim Danish. Mereka menyediakan gaji dan bonus sendiri dan kami hanya perlu menanggung beberapa kos kecil. Ia sangat berbeza daripada model biasa untuk pelumba Asia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Zulfahmi, tawaran tersebut hadir selepas kekosongan bakal ditinggalkan pelumba Sepanyol Angel Piqueras yang disahkan beralih ke kelas Moto2 musim depan.

“Ramai pelumba lain turut berminat dengan tempat itu, jadi kami perlu membuat keputusan segera. Hakim Danish akan menggunakan motosikal sama digunakan Piqueras musim ini, dan itu merupakan satu kelebihan besar buatnya,” katanya.

Beliau menyifatkan peluang berkenaan sebagai impian yang menjadi kenyataan buat dirinya serta pelumba kelahiran Terengganu itu yang beraksi dalam perlumbaan di JuniorGP dan Red Bull Rookies Cup.

“Tahun depan, Hakim Danish akan berlumba 22 pusingan penuh dalam kejuaraan dunia Moto3. Ia merupakan cabaran besar namun penting untuk perkembangan kariernya di peringkat dunia,” katanya.

Hakim Danish dijangka bergandingan dengan pelumba Jepun Ryusei Yamanaka dalam pasukan MSi Racing Team.

Beliau menamatkan kempen Red Bull Rookies Cup musim ini di kedudukan ketiga keseluruhan dengan mengumpul 171 mata selepas saingan terakhir di Litar Misano pada September lepas, hanya ketinggalan 65 mata di belakang juara keseluruhan Brian Uriarte dari Sepanyol.

Tempat kedua keseluruhan pula menjadi milik pelumba Indonesia Veda Pramata yang mengumpul 181 mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan