SEPANG, 26 Okt (Bernama) -- Pelumba pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP Alex Marquez menyifatkan kejayaannya menjuarai perlumbaan MotoGP pada Grand Prix (GP) Malaysia 2025 sebagai ‘perlumbaan hampir sempurna’ selepas berjaya mengharungi pelbagai cabaran pada hujung minggu yang mencabar di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Marquez, yang bermula di petak kedua pada perlumbaan utama sebelum merampas kedudukan pendahulu daripada pelumba Ducati Lenovo Team Francesco Bagnaia pada pusingan kedua mengakui insiden kemalangan pada sesi latihan Jumaat hampir menjejaskan rentak dan keyakinannya.
“Saya akui, saya melakukan kesilapan pada hujung minggu ini, mungkin terlalu yakin dan menjangkakan keadaan akan menjadi lebih mudah. Namun, apabila anda memulakan hujung minggu dengan kemalangan pada sesi Latihan Bebas 1, kemudian sekali lagi terjatuh dalam sesi latihan, ia menjadi agak sukar.
“Sepanjang hujung minggu, kami berjaya memperbaiki keadaan dengan baik. Jadi, pelan untuk hari ini memang jelas. Kami menambah baik sedikit persembahan semasa sesi pemanasan badan dan selepas itu, saya bijak melaksanakan pelan untuk menyerang Pecco (Bagnaia) pada pusingan kedua, kemudian cuba mengawal jentera sehingga ke garisan penamat,” katanya pada sidang media selepas perlumbaan.
Sementara itu, pelumba pasukan Red Bull KTM Factory Racing Pedro Acosta yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua berkata perlumbaan hari ini sangat mencabar dari segi fizikal tetapi memberi kepuasan tersendiri.
Pelumba Honda HRC Castrol Joan Mir yang menduduki tempat ketiga pula berkata keadaan cuaca panas dan pengurusan tayar menjadikan perlumbaan kali ini antara yang paling sukar dalam kariernya, namun beliau gembira berjaya meraih podium keduanya selepas GP Jepun bulan lepas.
Keputusan perlumbaan hari ini menyaksikan Marquez mengumpul 413 mata di belakang juara dunia yang juga abangnya Marc Marquez daripada Ducati Lenovo Team, yang terpaksa menamatkan musim lebih awal akibat kecederaan, dengan 545 mata.
Marco Bezzecchi daripada pasukan Aprilia Racing kini di tempat ketiga dengan 291 mata, manakala Bagnaia, yang terpaksa menarik diri pada pusingan ke-13 hari ini, berada di tangga keempat dengan 286 mata dalam kedudukan keseluruhan Kejuaraan Dunia MotoGP selepas 20 pusingan.
Acosta berada di tempat kelima dengan 260 mata, manakala Mir di kedudukan ke-15 dengan 93 mata.
Perlumbaan musim ini akan diteruskan pada GP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve dari 7 hingga 9 Nov.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial