KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kekangan kewangan menjadi faktor utama pengurangan penyertaan pasukan luar negara dalam Kejohanan Hoki Piala Mirnawan 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 2 hingga 9 Nov ini.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata sebagai penganjur, pihaknya hanya mampu menjemput lapan pasukan berbanding 10 pasukan pada edisi tahun lalu berikutan kekangan tersebut.
“Banyak negara luar berminat menyertai kejohanan ini, namun kita perlu mengambil kira kemampuan kewangan semasa. Justeru, kami memilih pasukan yang diyakini mampu memberikan saingan berkualiti kepada pemain muda negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Subahan menegaskan pengurangan penyertaan itu tidak akan menjejaskan kemeriahan kejohanan yang kini memasuki edisi keempat sejak diperkenalkan pada 2022.
“Tiada gunanya menganjurkan kejohanan sekadar untuk memenuhi jadual. Matlamat utama penganjuran ini adalah memberi pendedahan dan impak besar terhadap pembangunan pemain remaja negara,” katanya.
Bagi kategori lelaki bawah 18 tahun, kejohanan kali ini akan disertai oleh pasukan Malaysia Speedy, Malaysia Tiger, Jepun, Afrika Selatan serta dua pasukan dari Australia iaitu Queensland dan Croc One Active.
Sementara itu, bagi kategori wanita bawah 18 tahun pula, pasukan yang akan beraksi ialah Malaysia Tigress, Jepun, Afrika Selatan serta dua pasukan dari Australia, Queensland dan Croc One Active.
Piala Mirnawan merupakan kejohanan hoki jemputan antarabangsa anjuran Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama KHM.
Kejohanan selama lapan hari itu menjadi platform penting untuk menilai potensi pemain pelapis negara selain memperkukuh hubungan sukan antara Malaysia dan negara luar.
Semua pasukan akan bersaing dalam format liga sepusingan (round-robin) dengan dua pasukan teratas layak ke perlawanan akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial