SHAH ALAM, 27 Okt (Bernama) -- Skuad negara meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga terbaik pada Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 yang dijadualkan berlangsung di Bukit Kiara dari 4 hingga 8 Nov ini.
Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz berkata bagi mencapai misi itu, skuad negara perlu mengutip sekurang-kurangnya satu pingat emas pada kejohanan berkenanan.
“Kalau ikutkan kejohanan ini, setiap pingat yang diraih pasukan akan dapat mata. Kalau emas 250 mata, perak 175 mata dan 125 mata untuk gangsa.
“Jadi, kami menyasarkan sekurang-kurangnya satu emas untuk pasukan Malaysia berada dalam kelompok tiga terbaik,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Awalan berkata beliau tidak meletakkan sasaran secara spesifik kepada pasukan Malaysia pada kejohanan itu.
Beliau berkata ia hanya akan memberi tekanan kepada atlet-atlet yang terlibat jika pihaknya berbuat demikian.
“Saya tidak mahu tekanan itu dirasai hanya satu individu atau kumpulan. Sebagai contoh jika saya cakap sasaran itu diletakkan kepada pasukan lelaki, mungkin mereka akan berasa tekanan yang lebih sebab tugas itu diberikan kepada mereka.
“Jadi, jika saya cakap sasaran itu secara keseluruhan, maka tekanan akan dikongsikan bersama dengan rakan pasukan yang lain,” katanya.
Pada kejohanan itu, Malaysia akan diwakili Izzat Shameer Dzulkeple, Muhammad Soufi Rusli, Emma Firyana Saroji dan Nurul Alyani Jamil.
Sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan iaitu singles dan pairs bagi lelaki dan wanita, singles para lelaki dan wanita dan campuran para.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial