SUKAN > BERITA

XISCO PUJI SEMANGAT DAN KONSISTENSI JDT MARA KE SEPARUH AKHIR PIALA FA

29/10/2025 11:48 AM

ISKANDAR PUTERI, 29 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz, memuji pemainnya kerana mengekalkan semangat juang dan tekad selepas kemenangan 3-0 yang membawa pasukan ke separuh akhir Piala FA.

Munoz berkata konsistensi pasukan dalam menunjukkan karakter dan ketekunan walaupun menghadapi jadual padat mencerminkan komitmen mereka terhadap matlamat kelab.

Beliau mengakui bukan mudah menembusi benteng pertahanan lawan, dengan gol pertama JDT hanya hadir pada minit ke-38.

“Selepas banyak perlawanan, kami terus mengekalkan tekad dan karakter yang sama. Kami bertekad menghadapi cabaran besar. Ini satu lagi perlawanan, satu langkah ke hadapan.

“Antara yang dibincangkan sebelum perlawanan ialah kesukaran apabila pemain mula penat. Di bahagian gol lawan, kadangkala lebih sukar membuka ruang benteng pertahanan. Pada separuh masa pertama, saya menasihati mereka supaya kekal tenang dan membuat keputusan lebih baik di bahagian akhir,” katanya.

Beliau turut melahirkan kegembiraan apabila kesemua tiga gol JDT datang situasi set pieces.

"Kami membincangkan pelbagai fasa permainan untuk membuka ruang dan mencipta peluang. Masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki untuk menjadi lebih kuat,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Berhubung prestasi meningkat pada separuh masa kedua, jurulatih dari Sepanyol itu berkata ia bukan sekadar rancangan, sebaliknya menunjukkan kekuatan dan kepelbagaian kemampuan keseluruhan skuad JDT.

Menjelang pertemuan separuh akhir Piala FA menentang Kuching FC, Munoz menjangkakan perlawanan sukar memandangkan lawan memiliki pertahanan yang kukuh.

Beliau juga menekankan persiapan untuk perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC pada 31 Okt yang dijangka mempunyai tempoh rehat singkat.

“Ia perlawanan penting. Kami akan mula bersedia esok. Pemain perlu pulih sepenuhnya. Hanya ada kira-kira 52 jam sebelum perlawanan seterusnya, tetapi itulah jadual. Jika bermain untuk JDT, anda mesti bersedia dengan karakter dan tekad,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, tetap berpuas hati dengan semangat juang dan disiplin pemainnya walaupun tewas 0-3 kepada JDT malam tadi.

Beliau berkata pasukannya bermula dengan baik pada 30 minit pertama permainan sebelum hilang tumpuan seketika yang membawa padah apabila dihukum dengan tiga jaringan pantas oleh pasukan tuan rumah dalam tempoh kira-kira lima minit.

“Sehingga minit ke-30, kami bermain baik sebelum sedikit hilang fokus dan dibolosi tiga gol dalam tempoh kira-kira lima minit. Alhamdulillah, pada separuh masa kedua, pemain kekal fokus, melepasi defisit tiga gol, bermain lebih tenang dan mampu bersaing dengan JDT,” katanya.

Wan Rohaimi mengakui JDT berada pada tahap berbeza dan sukar untuk mana-mana pasukan menewaskan mereka di Stadium Sultan Ibrahim yang menjadi kubu kebal pasukan itu sejak beberapa tahun.

“Kami tidak datang untuk menyerah kalah. Kami bermain dan bersaing dengan penuh semangat. Walaupun tewas 3-0, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan,” tambahnya.

Mengulas aspek taktikal, Wan Rohaimi menjelaskan bola sepak bergantung pada pengurusan ruang dan masa, dan kegagalan menutup kedua-dua elemen itu memberi kelebihan besar kepada JDT.

Beliau bagaimanapun berkata walaupun kecewa dengan keputusan, prestasi keseluruhan pasukan menunjukkan peningkatan sejak beberapa perlawanan lalu.

“Prestasi pasukan menunjukkan graf menaik bermula dari perlawanan menentang Melaka, Negeri Sembilan, JDT, Kuching dan hari ini. Walaupun kalah, saya tetap gembira dengan peningkatan mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan