SUKAN > BERITA

LIGA SUPER: NIDZAM GEMBIRA NAMUN AKUI MASIH ADA PERLU DIPERBAIK

26/10/2025 11:55 AM

SEREMBAN, 26 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) Mohd Nidzam Jamil berkata masih ada aspek kecil perlu diperbaik walaupun anak buahnya berjaya menewaskan PDRM FC 2-0 pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi. 

Beliau berkata kemenangan itu penting untuk mengembalikan semangat pasukan selepas tewas kepada Selangor FC dalam saingan suku akhir pertama Piala FA minggu lepas, sekali gus menjadikan halaman sendiri sebagai kubu istimewa NSFC.

“Dari segi objektif, ya kita sangat gembira kerana memperoleh tiga mata di halaman sendiri, tetapi ada beberapa perkara seperti perincian kecil perlu diperbaik. Dalam bola sepak ada masa tertentu (dan) kalau tekan terlalu awal, pasti ada kesan. Jadi, kita perlu tingkatkan hal-hal ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan. 

Mohd Nidzam juga memuji persembahan pemain import Joseph Esso yang berjaya menjaringkan gol pembukaan serta usaha semua pemain Skuad Jang kerana menunjukkan peningkatan ketara berbanding aksi menentang Selangor FC.

Selain itu, Mohd Nidzam berkata beberapa tonggak utama pasukan yang mengalami kecederaan dijangka memerlukan masa antara satu hingga dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

Dalam perlawanan itu, Joseph Esso membuka tirai gol pada minit ke-53 sebelum Jovan Motika menggandakan kedudukan menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 25 meter, lima minit kemudian. 

NSFC kini menghuni tangga kelima Liga Super dengan 11 mata manakala PDRM FC di kedudukan kelapan dengan enam mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan