LABUAN, 29 Okt (Bernama) -- Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) akan dipinda untuk memasukkan peruntukan berkaitan antidoping dan integriti sukan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu.
Beliau berkata pindaan yang dicadangkan dijangka dibentangkan tahun hadapan bagi menangani isu berkaitan rasuah sebagai sebahagian daripada inisiatif pemeliharaan integriti sukan.
Nagulendran berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Integriti Sukan dan Antidoping ASEAN 2025 yang diadakan di sini hari ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Beliau berkata pindaan ini mencerminkan komitmen serius Malaysia untuk mengekalkan persekitaran sukan yang telus dan beretika.
Lebih 100 peserta dari 14 negara iaitu Jepun, Korea Selatan, Myanmar, Laos, Kemboja, Thailand, Singapura, Brunei, Indonesia, China, Nepal, Australia, Fiji dan Filipina menyertai simposium tersebut yang merupakan sebahagian daripada program Pembangunan Belia dan Sukan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025.
Dalam ucapannya, Nagulendran berkata isu berkaitan integriti sukan melangkaui pelanggaran peraturan kerana ia boleh menjejaskan intipati dan semangat kesukanan.
“Pelanggaran integriti bukan sahaja menjejaskan fairplay, tetapi juga boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan atlet serta merosakkan persepsi global terhadap dunia sukan.
“Oleh itu, adalah penting agar ekosistem sukan dipelihara melalui pembentukan persekitaran ‘sukan bersih’ yang bebas daripada bahan dan kaedah terlarang,” katanya.
Nagulendran pada sidang media itu turut mengingatkan para atlet supaya mengelak daripada mengambil ‘ubat kuat’ tradisional yang sering dipasarkan untuk menambah tenaga atau kekuatan kerana ia mungkin mengandungi bahan terlarang.
“Atlet perlu berhati-hati dan bertanggungjawab kerana pengambilan bahan terlarang boleh menyebabkan mereka hilang kelayakan atau digantung seumur hidup daripada menyertai kejohanan sukan utama,” katanya.
Beliau berkata simposium itu berperanan sebagai platform penting bagi menyediakan garis panduan, pendidikan dan kesedaran tentang pemeliharaan integriti dalam sukan, selaras dengan piawaian global dalam amalan antidoping.
Nagulendran berkata KBS juga terus memperkukuh inisiatif sukan yang selamat dengan menangani aktiviti tidak bermoral seperti gangguan seksual, merokok dan vape di premis KBS.
“Kami sedang membuka jalan untuk atlet menyuarakan kebimbangan melalui saluran yang betul, memastikan mereka dilindungi dan diperkasakan dalam ekosistem sukan yang selamat,” katanya.
Simposium itu turut menampilkan sesi perkongsian mengenai pelaksanaan Kod Antidoping Dunia dan Piawaian Antarabangsa 2027, pendidikan berasaskan nilai, pencegahan mengatur perlawanan dan tadbir urus sukan.
Peserta termasuk wakil dari negara anggota ASEAN, agensi persekutuan dan negeri, Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), Agensi Anti-Doping Jepun (JADA), Agensi Anti-Doping Korea (KADA), Sport Integrity Australia (SIA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sekretariat ASEAN, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia dan pelbagai persatuan sukan antarabangsa dan kebangsaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial