KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tahun 2025, yang turut dijangka dihadiri Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Menurut sumber kanan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lawatan itu antara lain bertujuan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembangunan bola sepak ASEAN, satu langkah penting bagi memperkukuh ekosistem bola sepak di Asia Tenggara.
Selain menghadiri acara rasmi, Infantino dijadual melawat Pusat Latihan Nasional (NTC) di Putrajaya.
Sumber itu memaklumkan lawatan berkenaan memberi peluang kepada wakil FIFA menilai kemudahan moden yang dibangunkan untuk menyokong visi jangka panjang bola sepak Malaysia.
Atur cara lawatan Infantino juga dijangka merangkumi kunjungan ke program Football for Schools di Kelana Jaya, inisiatif yang bertujuan menggalakkan penyertaan pelajar dalam bola sepak melalui pendekatan pendidikan dan komuniti.
Sekiranya berjalan lancar, lawatan ini berpotensi meningkatkan profil bola sepak Malaysia, khususnya dari aspek pembangunan akar umbi serta peranan negara dalam perancangan bola sepak serantau.
Lawatan itu juga membuka peluang memperkukuh hubungan strategik dengan FIFA serta mendapatkan sokongan dalam aspek infrastruktur, kejurulatihan dan program komuniti.
Untuk rekod, Infantino pernah melawat Malaysia pada April 2019, ketika mengetuai delegasi pemimpin bola sepak dunia yang mengadakan kunjungan hormat terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini, dengan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial