SUKAN > BERITA

HYE-JIN UNGGULI PUSINGAN PERTAMA GOLF MAYBANK LPGA 2025

30/10/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Bekas juara remaja dunia Hye-Jin Choi dari Korea Selatan menampilkan permainan bebas bogey untuk mencatat lapan bawah par 64 sekali gus mendahului dengan satu pukulan selepas pusingan pertama Kejohanan Golf Maybank LPGA 2025 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang menjuarai Kejohanan Remaja Dunia 2015 sebelum bergelar profesional dua tahun kemudian, membenam enam birdie di lubang dua, tujuh, sembilan, 12, 16 dan 18, selain mencatat eagle di lubang ketiga.

Pemain Scotland, Gemma Dryburgh dan Benedetta Moresco dari Itali pula berkongsi tempat kedua selepas masing-masing menamatkan saingan dengan catatan 65 pukulan.

Sementara itu, juara bertahan dari China, Yin Ruoning mencatat lima bawah par 68 untuk berkongsi kedudukan di tangga ke-22 bersama 10 pemain lain, empat pukulan di belakang pendahulu.

Mengulas prestasinya, Hye-Jin mengakui berdepan beberapa situasi sukar akibat kawasan rough dan halangan, namun berjaya mengekalkan ketenangan bagi menyelamatkan par pada detik genting.

“Saya berdepan banyak situasi yang boleh membawa kepada bogey kerana rough dan halangan, tetapi saya berjaya melakukan banyak pukulan par yang baik,” katanya menerusi jurubahasa.

Dengan keadaan cuaca panas turut menguji ketahanan pemain, Hye-Jin berkata fokus utamanya kini adalah mengekalkan tenaga memandangkan ini adalah kejohanan kelima berturut-turut disertainya.

“Saya hanya fikir dua perkara — latihan pendek dan rehat panjang. Ini kejohanan kelima saya berturut-turut, jadi saya perlu menjaga tenaga. Saya akan makan dengan baik dan berehat secukupnya.

“Pusingan pertama ini memang baik, tetapi saya anggap baki pusingan sebagai permulaan baharu. Saya tidak mahu terlalu memikirkan skor, sebaliknya mahu terus beraksi sebaik mungkin,” katanya.

Kejohanan bernilai USD3 juta (RM12.6 juta) itu menarik penyertaan 78 pemain terbaik dunia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan