SUKAN > BERITA

TUNKU IMRAN TERIMA PENGIKTIRAFAN ATAS SUMBANGAN CEMERLANG SUKAN GOLF

03/11/2025 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar telah menerima Anugerah Sumbangan Terbaik dalam Golf oleh Persekutuan Industri Golf Asia (AGIF).

AGIF memaklumkan anugerah berkenaan diberikan kepada Tunku Imran pada Majlis Makan Malam Anugerah AGIF pada 29 Okt lepas, sebagai pengiktirafan terhadap peranannya yang menjadi perintis dalam pembangunan golf peringkat remaja serta usaha memperkukuh landskap sukan secara keseluruhan di Malaysia.

Menurut kenyataa AGIF, Tunku Imran yang mengasaskan SportExcel pada 1991 telah membuka laluan pembangunan golf remaja pertama di Malaysia dengan melahirkan bakat-bakat seperti Ben Leong dan Gavin Green melalui penyertaan di kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kepimpinan beliau telah mengubah wajah sukan golf di Malaysia dan memberi inspirasi kepada generasi baharu pemain serta pentadbir sukan di seluruh rantau ini,” kata Presiden AGIF Chris Gray dalam kenyataan sama.

AGIF merupakan badan perdagangan bukan berasaskan keuntungan terkemuka di rantau ini yang komited terhadap pertumbuhan dan pembangunan mampan sukan golf.

Berpangkalan di Singapura, AGIF menaungi lebih 100 ahli industri golf Asia termasuk pemilik padang golf, pengurus kelab, arkitek padang, pengeluar peralatan, pembekal perkhidmatan penyelenggaraan serta wakil persatuan golf utama di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan