SUKAN > BERITA

ACL ELITE: JDT SEDIA TAMPIL AKSI AGRESIF, TEMPO TINGGI BERDEPAN SHANGHAI SHENHUA FC

04/11/2025 04:34 PM

ISKANDAR PUTERI, 4 Nov (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia menampilkan aksi berintensiti tinggi berdepan Shanghai Shenhua FC pada aksi peringkat kumpulan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Elite (ACL Elite) 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim di sini esok.

Ketua Jurulatih JDT Xisco Munoz berkata pemain-pemain kini sudah bersedia untuk meningkatkan tempo permainan dan beraksi dengan lebih agresif bagi memburu kemenangan penting di gelanggang sendiri di hadapan penyokong mereka.

“Kami perlu meningkatkan intensiti dan bermain secara agresif dalam setiap perebutan bola. Kami akan cuba menjaringkan gol dan memastikan tiga mata menjadi milik kami,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Munoz berkata perlawanan di tempat lawan pada kejohanan itu sentiasa mencabar, justeru prestasi cemerlang di laman sendiri amat penting untuk memastikan kedudukan pasukan kekal kukuh.

“Saya rasa perlawanan terakhir kami di China sangat positif, baik dari segi prestasi mahupun keputusan. Kami hanya mahu mengekalkan momentum kemenangan itu serta mengekalkan intensiti yang sama,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Shanghai Shenhua FC Leonid Slutskiy menjangkakan tentangan sengit daripada skuad Harimau Selatan, sambil memuji corak permainan tersendiri dan rekod cemerlang JDT di gelanggang sendiri.

Beliau menyifatkan JDT sebagai antara pasukan paling dinamik dan menghiburkan pada kejohanan itu, dengan keupayaan teknikal serta corak serangan yang berkesan.

“Apabila anda menentang pasukan Jepun atau Korea, anda tahu apa yang dijangka, tempo tinggi, disiplin, dan corak permainan yang hampir sama. Namun, JDT amat berbeza. Bagi saya, ia seolah-olah menonton pasukan Sepanyol beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia,” katanya.

JDT menewaskan Shanghai Shenhua FC 3-0 pada pertemuan ACLE musim lepas.

Untuk rekod, kempen JDT musim lepas berakhir pada pusingan 16 terbaik selepas tewas dengan agregat 0-1 kepada Buriram United.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan