SUKAN > BERITA

PIALA DUNIA 2025: EMMA FIRYANA BUKA LANGKAH POSITIF ACARA SINGLES

04/11/2025 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pemain boling padang negara Emma Firyana Saroji memulakan kempen Piala Dunia 2025 dengan langkah meyakinkan selepas meraih dua kemenangan daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan acara singles wanita hari ini.

Pada aksi berlangsung di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, atlet berusia 39 tahun itu berjaya menundukkan wakil New Zealand,Katelyn Inch 2-1 sebelum tewas tipis 1-2 kepada pemain England Katherine Rednall dalam aksi kedua berlangsung sebelah pagi.

Pada aksi sebelah petang, dia bangkit mencari kemenangan ke atas pemain Scotland Caroline Brown 2-0.

“Alhamdulillah, saya dapat kawal permainan dengan baik hari ini. Strategi utama saya adalah untuk pastikan bola pertama dekat dengan jack. Satu bola pun cukup kalau kena tepat, sebab dari situ kita boleh kawal rentak permainan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan hari pertama.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dalam Dewan Dunia itu kini memasang tekad untuk memburu dua lagi kemenangan penting bagi memastikan laluan ke pusingan suku akhir terus cerah.

“Ikutkan belum lagi sah ke suku akhir, sebab ada dua lagi perlawanan esok menentang Afrika Selatan dan Ireland. Kena menang dua-dua kalau nak pastikan tempat di kelompok dua teratas kumpulan,” katanya.

Beliau bagaimanapun optimis mampu menewaskan pemain dari Afrika Selatan Anneke Scheepers dan wakil Ireland Lara Reaney selepas memiliki rekod pertemuan cukup baik menentang mereka sebelum ini, selain berbekalkan kelebihan menjadi tuan rumah.

Atlet kelahiran Selangor itu berharap prestasi cemerlang dalam acara perseorangan dapat diteruskan dalam aksi doubles wanita apabila bergandingan bersama Nurul Alyani Jamil.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari itu menyaksikan sebanyak tujuh kategori dipertandingkan, iaitu singles dan pairs bagi lelaki dan wanita, serta perseorangan para lelaki dan wanita dan campuran. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan