SUKAN > BERITA

AMINUDDIN MAHU PERLAWANAN NSFC-TERENGGANU DIADAKAN WAKTU MALAM

04/11/2025 08:27 PM

SEREMBAN, 4 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memohon Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mempertimbangkan semula jadual perlawanan antara pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Terengganu FC pada 22 Nov ini supaya diadakan pada waktu malam berbanding 5 petang seperti yang ditetapkan.

Pengerusi NSFC itu berkata keputusan mengadakan perlawanan pada waktu petang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu berkemungkinan menjejaskan kehadiran penyokong kerana sebahagian besar daripada mereka masih bekerja pada hari berkenaan.

Beliau menegaskan sebagai tuan rumah, Negeri Sembilan seharusnya diberikan kelonggaran menentukan waktu perlawanan yang sesuai bagi memastikan kehadiran dan sokongan padu penyokong tempatan di laman sendiri.

“Kami sedia maklum Negeri Sembilan ini sebenarnya tidak bersedia untuk mengadakan perlawanan pada waktu siang kerana akan kehilangan banyak penonton. Sebahagian besar penonton bekerja, jadi untuk mereka hadir 5 petang amat sukar.

“Saya berharap perkara ini dikaji semula. Negeri Sembilan sebagai tuan rumah patut dibenarkan bertanding pada waktu yang sesuai, waima 10 malam sekali pun. Ini penting bagi memberi ruang kepada penyokong hadir memberikan semangat kepada pasukan,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Pada permulaan saingan Liga Super musim ini, kehadiran penyokong NSFC di stadium kekal konsisten dengan jumlah mencecah ribuan orang bagi setiap perlawanan.

NSFC kendalian Ketua Jurulatih Mohd Nidzam Jamil kini mempamerkan prestasi positif berbanding beberapa musim lepas apabila berada di tangga keenam liga dengan 12 mata.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan