KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Yayasan Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM60,000 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) pada acara Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports di Stadium Merdeka, semalam.
Selain YAKEB, baginda juga turut berkenan menyampaikan RM40,000 kepada Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri & Kebangsaan, sebagai tanda keprihatinan serta penghargaan terhadap jasa para wira sukan tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj berkata penganjuran program Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports sebagai satu kejayaan bermakna yang menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan legenda sukan negara di samping menyatukan masyarakat menerusi semangat kesejahteraan dan warisan.
“Kami amat bersyukur atas kejayaan penganjuran ini dan berharap bekas atlet negara merasai penghargaan sewajarnya atas sumbangan mereka.
“Keberangkatan Paduka Baginda berdua menjadikan majlis ini lebih istimewa kerana mencerminkan tanda terima kasih mendalam terhadap wira sukan negara,” katanya.
Inisiatif diraja yang berlangsung di Stadium Merdeka itu dianggap sebagai peringatan bermakna tentang semangat perpaduan, kesejahteraan dan keunggulan sukan yang menjadi kebanggaan negara serta lambang perjalanan kolektif rakyat Malaysia dalam semangat kebersamaan dan cinta akan tanah air.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial