KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) muncul juara kategori beregu campuran pada Kejohanan Pickleball Media anjuran SME Bank di sini hari ini.
Gandingan Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan Dayana Nabila Shaipul Anuar menumpaskan pasangan Muhamad Rohaizam Latib dan Wan Nor Faizah Wan Hashim dari The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan keputusan 21-16 pada perlawanan akhir.
Aidil Syukri ketika ditemui berkata kemenangan itu adalah hasil daripada kerjasama mantap dan saling melengkapkan ketika di gelanggang.
“Saya bersyukur atas kemenangan ini dan terima kasih juga kepada Dayana kerana sentiasa beri semangat dan sokongan sepanjang perlawanan,” katanya.
Sementara itu, Dayana Nabila berkata kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan tetapi juga memperkukuh semangat setiakawan dalam kalangan pengamal media.
“Saya gembira dapat sumbangkan kemenangan untuk Bernama. Kejohanan ini bukan tentang kemenangan semata-mata tapi lebih penting semangat kesukanan dan persahabatan antara rakan media,” katanya.
Bagi kategori perseorangan lelaki, seorang lagi wakil Bernama Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad muncul naib juara selepas tewas kepada Shahrin Aizat Noorshahrizam daripada portal The Malaysian Reserve di perlawanan akhir.
“Saya berusaha untuk beri saingan sengit dalam kategori perseorangan. Walaupun tewas di final, saya puas hati dengan prestasi sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perancangan Strategik Bernama Harlina Samson meraih tempat ketiga bagi kategori perseorangan wanita, yang dimenangi Pengarang Berita Kanan Berita Harian Datuk Sariha Mohd Ali.
Kejohanan Pickleball Media itu menarik penyertaan 72 peserta daripada pelbagai agensi media termasuk wartawan, pengarang dan petugas media yang bersaing dalam tiga kategori iaitu beregu campuran, perseorangan lelaki dan perseorangan wanita.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial