AM > BERITA

KPKT Kekal Kecemerlangan Melalui Modal Insan Berintegriti

09/11/2025 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bukan sahaja komited melaksanakan dasar pembangunan malah turut menekankan pembinaan modal insan unggul yang berfikiran jauh dan bekerja dengan penuh integriti, kata Menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata perkara itu terbukti apabila KPKT telah meraih pelbagai pencapaian membanggakan dalam usaha menyeimbangkan antara kemajuan fizikal dan kesejahteraan sosial serta kelestarian alam sekitar.

“Segala kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa dedikasi luar biasa seluruh warga KPKT di semua peringkat…yang bekerja melangkaui jangkaan, menolak sempadan kebiasaan dan menjadi nadi kemajuan organisasi.

“Golongan seperti inilah yang perlu kita angkat kerana dalam ekosistem perkhidmatan awam, kecemerlangan tidak boleh dibiarkan tenggelam dalam arus mediocrity. Ia mesti diserlahkan, disanjung dan dijadikan contoh agar seluruh warga perkhidmatan menjadikan prestasi tinggi sebagai norma dan bukannya titik penyisihan,” katanya.

Nga berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT (AKM KPKT) 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata kejayaan KPKT turut diiktiraf apabila kementerian itu dipilih sebagai Kementerian Berprestasi Paling Cemerlang dan Tinggi 2024 selain mencipta sejarah dengan memenangi empat anugerah utama, termasuk Anugerah Pembangunan Negara 2024 yang mengiktiraf perancangan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi oleh kementerian.

Mengulas mengenai AKM 2025, Nga menjelaskan majlis itu merupakan pengiktirafan luar biasa yang menawarkan peluang untuk penjawat awam menimba ilmu di universiti tersohor dunia seperti Universiti Harvard dan Universiti Melbourne secara tajaan penuh.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen KPKT terhadap ilmu, kepimpinan dan kecemerlangan, serta usaha membudayakan kecemerlangan sebagai norma kerja dalam perkhidmatan awam,” katanya. 

AKM 2025 mempertandingkan 10 kategori, antaranya Anugerah Keunggulan Menteri, Anugerah Kepimpinan Terbaik, Anugerah Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik, Anugerah Kepimpinan Berinspirasi dan Anugerah Kepimpinan Harapan.

Turut dipertandingkan Anugerah Pelaksana Terbilang, Anugerah Ikon Inspirasi, Anugerah Organisasi Sejahtera, Anugerah Organisasi Unggul dan Anugerah PBT Cemerlang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Datuk Dr Mohd Azhar Abd Hamid yang memenangi Anugerah Keunggulan Menteri, berkata pengiktirafan itu merupakan satu tanggungjawab untuk terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan amalan terbaik.

“Ia juga menzahirkan penghargaan KPKT terhadap warga kerjanya, sejajar usaha memastikan kecemerlangan dapat dicapai,” katanya. 

Sejak diperkenalkan pada 2023, AKM yang diadakan dua tahun sekali itu menjadi wadah berprestij menghargai warga perkhidmatan awam cemerlang di kementerian, jabatan, agensi dan 156 PBT seluruh negara.

Pemenang anugerah menerima sijil penghargaan, trofi, serta ganjaran wang tunai bernilai hingga RM20,000 (tertakluk kepada kategori), selain berpeluang mengikuti kursus jangka pendek di universiti ternama luar negara bagi kategori terpilih.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan