SUKAN > BERITA

MELAKA JULANG TROFI SEPAK TAKRAW PIALA TUN ALI 2025

09/11/2025 06:40 PM

MELAKA, 9 Nov (Bernama) -- Melaka menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir acara regu lelaki untuk melakar sejarah menjadi juara pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit di sini hari ini.

Trio Melaka yang dibarisi pemain kebangsaan Mohd Azlan Alias selaku apit kanan, tekong import dari Thailand Pongsatorn Phong-Udtha dan apit kiri Muhammad Zaim Razali tampil cemerlang untuk mencatat kemenangan 17-14 dan 15-12 dalam masa 53 minit.

Kejayaan itu menebus kekecewaan Melaka dalam tiga edisi terdahulu, selain pernah muncul naib juara pada 2022.

Kedah yang dibarisi tekong Amar Roslan, perejam dari Thailand Loesak Kuram serta Zulhusni Basri tetap memberikan saingan sengit walaupun gagal menyekat kemaraan Melaka Titans.  

Kedah sebelum ini mencipta kejutan melangkah ke pentas akhir buat kali pertama selepas menyingkirkan penyandang juara Kuala Lumpur 2-0 pada suku akhir dan menundukkan trio emas Negeri Sembilan 2-0 (separuh akhir).

Selaku juara, Melaka membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta trofi yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, manakala Kedah selaku naib juara menerima RM10,000 berserta piala.

Melaka turut mendominasi anugerah individu apabila Pongsatorn dinobatkan sebagai Tekong Terbaik dan Mohd Azlan sebagai Apit Kanan Terbaik, sementara pemain Kedah Zulhusni Basri dipilih Apit Kiri Terbaik. 

Dalam acara kuadran yang pertama kali diperkenalkan pada edisi kali ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara selepas menewaskan Perak 2-0 menerusi keputusan 17-16 dan 15-9 pada aksi final.

ATM membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala dan Perak menerima RM8,000, manakala tempat ketiga dikongsi bersama pasukan yang tewas pada separuh akhir iaitu MSSM-KPM dan Terengganu masing-masing menerima RM4,000.

Bagi acara regu wanita pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menundukkan Sabah 2-0 dengan kemenangan 15-9, 15-9 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan piala.

Sabah menerima hadiah bernilai RM3,000, manakala tempat ketiga dikongsi pasukan yang tewas pada separuh akhir, Selangor dan Perak yang masing-masing memperoleh RM1,000.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata kejayaan merangkul kejuaraan itu amat bermakna buat pasukan itu yang pada awalnya hanya menyasarkan tempat ke separuh akhir.

“Syukur Alhamdulillah atas rezeki dan kemenangan ini. Sebenarnya sasaran kami hanyalah untuk mara ke separuh akhir, jadi apabila berjaya ke final ia sudah dianggap bonus. Kini dengan muncul juara, kegembiraan berganda ini bukan sahaja buat kami tetapi seluruh rakyat Melaka.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja, Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) dan pihak yang sentiasa menyokong kami. Saya amat bersyukur kerana penampilan pertama saya bersama Zaim dalam acara regu pada kejohanan ini membuahkan hasil dengan kemenangan.

“Bagi persiapan ke Sukan SEA, semuanya berjalan lancar setakat ini. Kami akan terus berusaha dan mengekalkan fokus tanpa ada rasa selesa kerana cabaran lebih besar menanti di pentas antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan