SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Sebanyak 838 atlet melibatkan 46 kontinjen daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara bakal berentap dalam Sukan Tempur Universiti (VCS) 2025 yang berlangsung dari 13 hingga 16 Nov ini.
Jawatankuasa Promosi VCS 2025 dalam kenyataan memaklumkan edisi sulung kejohanan itu akan mengetengahkan tiga sukan tempur utama, iaitu silat, taekwondo dan karate.
“Kejohanan berkenaan akan berlangsung di Dewan Al Jazari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini untuk taekwondo manakala Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya untuk sukan karate.
“Sementara itu, Kompleks Kejiranan Presint 11 Putrajaya pula menjadi venue bagi acara silat,” menurut kenyataan itu.
Majlis Perasmian Penutup VCS 2025 yang menghimpunkan kesemua atlet terlibat akan diadakan pada 16 Nov ini di Dewan Al Jazari, PSA.
Kejohanan anjuran KPT melalui Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik dengan kerjasama Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan PSA itu antaranya bertujuan untuk membudayakan sukan sepanjang hayat selaras dengan Dasar Pembangunan Sukan Institut Pengajian Tinggi.
Jawatankuasa Promosi VCS 2025 memaklumkan kejohanan itu juga menjadi platform penting bagi pemilihan atlet berpotensi untuk mewakili negara ke Sukan Universiti ASEAN dan Sukan Universiti Dunia.
“Di samping itu, ia juga bagi memberi pendedahan serta pengalaman pertandingan di peringkat tertinggi bagi memperkukuh kemahiran teknikal dan mental atlet IPT,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial