LABUAN, 16 Nov (Bernama) -- Pasukan bola sepak wanita Labuan menduduki tempat kedua pada Kejohanan Bola Sepak Wanita Olimpik Khas Asia Tenggara 2025 yang diadakan di Bandung, Indonesia, sekali gus mencatat pencapaian membanggakan buat Malaysia di pentas serantau.
Kejohanan anjuran Olimpik Khas Asia Pasifik itu berlangsung di Stadium Persib Sidolig dari 10 hingga 15 Nov, disertai lima negara iaitu Malaysia, Filipina, Bangladesh, Indonesia dan Thailand.
Pengerusi Olimpik Khas Labuan Jocelyn Yeo berkata pemain mempamerkan kerjasama berpasukan dan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan, sekali gus mendapat pujian jurulatih serta para penyokong ketika mereka berjuang hingga ke perlawanan akhir sebelum menamatkan saingan di tempat kedua.
“Kejohanan ini menjadi platform penting dalam memupuk inklusif, semangat kejiranan serantau serta daya saing dalam kalangan pemain wanita kecacatan intelektual, sekali gus menyerlahkan kekuatan program Olimpik Khas yang semakin berkembang di seluruh Asia Tenggara.
“Pegawai dari Olimpik Khas Malaysia mengucapkan tahniah kepada kontinjen Labuan dan berharap pencapaian itu dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak atlet muda dari Wilayah Persekutuan untuk menyertai acara antarabangsa pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata pasukan itu tiba di Labuan hari ini dengan satu majlis sambutan ringkas diadakan bagi menghargai pencapaian mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial