SUKAN > BERITA

RMSIR 2025: WINDSIKHER AKHIRI REKOD KEMENANGAN HOLLYWOOD SAMURAI, JUARA PERLUMBAAN KETIGA

21/11/2025 09:12 PM

LANGKAWI, 21 Nov (Bernama) -- Windsikher dari Singapura menamatkan rekod kemenangan berturut-turut Hollywood Samurai pada Kejohanan Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2025 selepas muncul juara perlumbaan ketiga Kelas 1 dari Pulau Pinang ke Langkawi.

Windsikher menamatkan perlumbaan dalam masa 7 jam, 10 minit dan 36 saat, mengatasi Blitz di tempat kedua (7:16:54) manakala Hollywood Samurai sekadar di tempat ketiga (7:18:03).

Kapten Windsikher Sarab Jeet Singh berkata beliau berharap kemenangan pada perlumbaan ketiga itu akan mengukuhkan usaha mereka untuk merebut kedudukan podium dan pasukan berkenaan telah bersiap sedia memberikan aksi terbaik pada perlumbaan pesisir pantai terakhir esok.

“Kami akan lakukan yang terbaik esok dan berharap kami akan tampil lebih baik berbanding yang lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah hari ini.

Windsikher ketika ini berada di tempat ketiga dengan 16 mata penalti manakala Hollywood Samurai terus mengungguli kedudukan teratas dengan 14 mata, diikuti rapat oleh The Next Factor dengan 15 mata.

RMSIR, yang berlangsung sembilan hari dari 14 hingga 22 Nov, disertai 23 pasukan dan akan diteruskan dengan perlumbaan pesisir pantai di Langkawi esok.

Kali pertama dianjurkan pada 1990, RMSIR adalah kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia. Ia cetusan idea Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika menjadi Raja Muda Selangor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan