TOKYO, 21 Nov (Bernama) -- Cabaran Malaysia dalam acara 200 meter (m) lelaki dan wanita terhenti apabila kesemua wakil negara gagal melepasi pusingan pertama pada Deaflympics 2025 di Stadium Komazawa Metropolitan hari ini.
Aksi bermula dengan penyertaan pelari negara Nur Andrina Zainudin yang menamatkan pusingan pertama saringan pertama di tempat kelima daripada lapan peserta selepas merekodkan 27.85 saat (s), sekali gus tidak layak ke separuh akhir.
Saringan itu menyaksikan pelari Elaine Janice Den Exter dari Belanda mengungguli kedudukan dengan catatan 25.93s, diikuti atlet Ukraine Kristina Kiniaikina (25.97s) dan wakil Kenya Beryl Atieno Wamira (26.51s).
Mengikut format kejohanan bagi acara 200m wanita, hanya tiga pelari terbaik daripada empat saringan serta empat pelari terpantas seterusnya layak ke separuh akhir esok.
Tiga wakil lelaki negara turut berdepan nasib sama apabila tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok dua pelari terbaik daripada lapan saringan serta lapan pelari terpantas seterusnya yang melayakkan diri ke separuh akhir.
Wakil pertama Hazrul Shah Hamri mencatat 23.41s pada saringan kedua untuk berada di kedudukan kelima.
Raja Pecut Pekak Asia Tenggara Muhammad Zamir Azman pula berada di tempat kelima pada saringan ketiga dengan catatan 23.31s manakala kembarnya Muhammad Zumar menamatkan saringan ketujuh di tempat keempat dengan 23.48s.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Amiluddin Mohd Amin berkata keadaan angin serta cuaca sejuk memberi kesan kepada larian atlet negara.
“Saya ada tanya mereka dan mereka jawab angin kuat menolak daripada hadapan (sehingga jejaskan larian). (Bagi saya ia adalah proses) dan mereka kena sambung balik latihan, itu sahaja.
“Selain itu, faktor kejohanan peringkat tinggi boleh memberi kesan psikologi. Mereka tengok saiz atlet lain, rekod lepas, semua itu boleh mempengaruhi mereka,” katanya kepada Bernama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial