IPOH, 22 Nov (Bernama) -- Skuad hoki lelaki negara optimis mampu menampilkan aksi cemerlang pada aksi Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-31 yang akan membuka gelanggang bermula esok hingga 30 Nov ini di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini.
Ketua pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil berkata persiapan Speedy Tigers berada pada tahap sangat memuaskan dengan aspek latihan serta perancangan permainan berjalan lancar.
Beliau berkata pasukan kini memiliki gabungan pemain yang mantap, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk menghadapi kejohanan itu.
“Dengan kekuatan yang ada dan kerjasama sepasukan, saya yakin kita lebih bersedia serta akan memberikan aksi terbaik dalam kejohanan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Muhammad Marhan berkata beliau yakin Speedy Tigers mampu memberi cabaran termasuk ketika berdepan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi dalam misi memburu kedudukan terbaik dalam kejohanan ini.
Bagi kapten skuad Black Sticks, Sam Lane berkata tumpuan utama mereka pada kejohanan itu bukan semata-mata mengejar gelaran juara, sebaliknya memastikan pembangunan pasukan berada pada tahap terbaik menjelang musim kompetitif akan datang.
Sam berkata pengalaman beraksi di Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2024-2025 di Kuala Lumpur pada Jun memberi gambaran menyeluruh tentang corak permainan pasukan Asia, sekali gus membantu mereka merangka persiapan lebih mantap untuk kejohanan berprestij ini.
"Prestasi kami di Piala Negara-Negara cukup baik dan saya fikir itu memberi kami petunjuk tentang bagaimana kemampuan kami bermain menentang pasukan Asia.
"Dan saya fikir sekarang, setakat ini, terdapat pelbagai jenis pasukan dan di situlah kami perlu meningkatkan pembangunan kami sendiri," katanya.
Sementara itu, Kapten Belgium Arthur Van Doren berkata pasukan ranking ketiga dunia itu menjadikan pembangunan pasukan sebagai agenda utama meskipun menyedari cabaran besar menanti dalam kejohanan kali ini.
Beliau berkata pertembungan dengan pasukan luar benua Eropah sentiasa memberikan dimensi berbeza kerana setiap lawan tampil dengan identiti dan taktikal tidak dijangka.
"Kami sering menentang pasukan Eropah, permainan mereka sangat berstruktur dan kami gembira apabila dapat menentang lawan dari Asia di kejohanan ini, iaitu Malaysia, India, Korea dan Jepun di samping New Zealand serta Kanada.
"Mereka membawa sesuatu yang berbeza, sesuatu yang tidak kami jangkakan dan itu sentiasa menjadi cabaran yang baik dan cabaran menjadikan anda menjadi lebih baik sebagai pemain," katanya.
Arthur berkata walaupun Belgium pasukan terbaik dalam ranking dunia pada edisi kali ini, namun beliau tetap mengambil pendekatan berhati-hati berdepan setiap lawan.
Malaysia akan membuka tirai kejohanan kali ini menentang New Zealand pada Ahad, diikuti Kanada (24 Nov), India (26 Nov), Belgium (27 Nov) dan Korea Selatan (29 Nov).
Hanya dua pasukan terbaik dalam kejohanan yang berlangsung dalam format liga sepusingan (round robin) akan berentap pada perlawanan akhir 30 Nov ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial