SUKAN > BERITA

PETRONAS NAFI DAKWAAN JADI PENAJA UTAMA LIGA BOLA SEPAK BANGLADESH

24/11/2025 10:35 AM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Petronas hari ini menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial bahawa syarikat itu adalah penaja utama Liga Bola Sepak Bangladesh.

Kenyataan syarikat minyak dan gas negara itu memaklumkan bahawa Petronas tidak pernah memeterai sebarang perjanjian berkaitan penajaan bagi Liga Bola Sepak Bangladesh, atau membenarkan nama dan jenamanya digunakan.

Petronas turut memaklumkan bahawa ia memandang serius isu membabitkan integriti jenamanya, dan kekal fokus terhadap usaha penyampaian nilai kepada pihak berkepentingan serta komuniti di mana ia beroperasi.

Khabar angin mengenai Petronas yang dikatakan telah menjalinkan usaha sama dengan Liga Bola Sepak Bangladesh tular di media sosial sejak malam tadi susulan laporan beberapa portal sukan tempatan mengenai perkara itu.

Perkembangan itu secara tidak langsung mengundang perhatian pelbagai pihak, dengan segelintir daripadanya mempertikai keputusan Petronas yang tidak menaja liga domestik sebaliknya memilih untuk menjadi penaga bagi kejohanan di luar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan