Daripada Farah Najihah Zuraimi
TOKYO, 26 Nov (Bernama) --“Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.”
Itu luahan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Mohd Yusri Abdul Ghani selepas kontinjen negara menamatkan saingan Deaflympics Tokyo 2025 dengan pungutan satu emas, dua perak dan satu gangsa, jauh daripada sasaran tiga emas yang ditetapkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).
Mohd Yusri menegaskan beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan itu, tanpa menyalahkan barisan 25 atlet yang telah berjuang habis-habisan sepanjang temasya, walaupun berdepan cabaran teknikal, psikologi dan fizikal yang menjejaskan prestasi mereka.
“Sewaktu di Sukan SEA Jakarta dan Asia Pacific, prestasi mereka sangat memberangsangkan. Namun, di Jepun, jurulatih memaklumkan atlet menjadi gemuruh apabila berdepan lawan yang lebih besar saiznya.
“Itu sudah memberi kesan psikologi, menyebabkan semangat dan fokus sedikit terjejas. Namun, beberapa rekod berjaya dipecahkan, dan itu membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas episod dramatik di Higashiyamato Grand Bowl semalam, apabila skuad boling campuran negara terlepas slot ke pusingan kedua hanya dengan perbezaan satu pin, sekali gus menutup peluang terakhir Malaysia menambah pingat.
Dengan berakhirnya acara berpasukan campuran boling, Malaysia menutup kempen Deaflympics 2025 dengan, satu emas (beregu lelaki boling), dua perak (karate kumite individu lelaki bawah 84kg dan beregu wanita boling) serta satu gangsa (beregu campuran badminton).
Pencapaian ini menyaksikan sasaran MSDeaf untuk membawa pulang tiga emas, termasuk dua daripada badminton, tidak tercapai walaupun pelbagai persiapan intensif telah dilakukan sejak awal.
Mohd Yusri berkata sasaran awal disandarkan pada analisis prestasi semasa, termasuk faktor cuaca sejuk yang menyebabkan kontinjen tiba lebih awal di Bandar Miyoshi pada 4 Nov bagi menyesuaikan diri. Namun, beliau mengakui tempoh itu masih belum mencukupi.
Katanya, pihaknya akan berbincang dengan badan induk untuk meningkatkan penyertaan atlet negara dalam kejohanan antarabangsa, bagi memupuk ketahanan mental dan keserasian pertandingan menjelang edisi seterusnya.
“Memang kita ada penyertaan kejohanan bersama atlet normal dan kejohanan dunia pekak, tetapi jumlah kejohanan memang terhad. Kita juga telah memberikan pandangan dalam mesyuarat kongres agar lebih banyak kejohanan dianjurkan mengikut format sukan atlet normal,” katanya.
Pada edisi Deaflympics Brazil 2022, Malaysia pulang dengan dua emas daripada acara beregu wanita badminton serta skuad boling.
Sebelum ini, Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan tambahan RM3 juta kepada MSDeaf bagi memperkukuh latihan, logistik dan keperluan atlet menuju ke Deaflympics Tokyo.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut mengumumkan insentif kemenangan berjumlah RM80,000 untuk emas, RM40,000 untuk perak dan RM20,000 untuk gangsa sebagai penghargaan kepada atlet negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial