IPOH, 26 Nov (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan Sarjit Singh berkata Speedy Tigers perlu kurang melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan bagi melakar keputusan positif pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) kali ini.
Sarjit berkata aspek pertahanan menjadi tumpuan utama yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan prestasi pasukan sebelum aksi menentang Belgium esok.
“Untuk perlawanan menentang India hari ini, para pemain bermain baik dan mempunyai peluang untuk menang namun keputusan akhir tidak memihak kepada kita atas kesilapan-kesilapan yang dilakukan.
“Bagi saya, posisi tengah dan serangan melakukan tugas dengan baik cuma benteng pertahanan yang perlu diperbaiki untuk aksi selepas ini,” katanya.
Terdahulu, Malaysia tumpas 3-4 kepada India, sekali gus membantutkan harapan pemain negara untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut pada aksi di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah malam tadi.
Gol Malaysia dijaringkan oleh Faizal Shaari pada minit ke-12, Fitri Shaari (ke-36) dan Marhan Jalil (ke-45) manakala India membalas melalui Karthi Selvam (ketujuh), Sukhjeet Singh (ke-21), Amit Rohidas (ke-39) dan Sanjay (ke-53).
Sementara itu, Ketua Jurulatih India Craig Fuilton berkata walaupun berjaya melakar kemenangan, beberapa peluang terhidang gagal disudahkan oleh para pemainnya untuk menambah jaringan.
“Saya rasa kami mencipta beberapa peluang yang sangat baik, yang sepatutnya kami miliki dan boleh kami sempurnakan tetapi tidak berjaya. Namun sekurang-kurangnya itu sesuatu yang positif berbanding semalam,” katanya.
Selain itu, Craig turut memuji benteng pertahanan pasukannya yang berdisiplin dan banyak menggagalkan peluang dimiliki para pemain Malaysia.
“Mereka menguji segala-galanya, kehilangan seorang pemain, terutama dalam tujuh minit terakhir. Mereka mengeluarkan penjaga gol mereka dan kami kembali kepada 11 pemain, yang banyak membantu.
“Namun mereka masih mempunyai peluang besar dalam tempoh itu. Saya gembira kami mendapat keputusan yang baik berdasarkan pertahanan yang baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial