SUKAN > BERITA

SARAWAK PERUNTUK RM350 JUTA UNTUK SUKAN SEA 2027 - ABDUL KARIM

02/12/2025 05:15 PM

KUCHING, 2 Dis (Bernama) -- Sarawak memperuntukkan RM350 juta untuk penganjuran 17 acara sukan dan majlis perasmian Sukan SEA 2027, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata peruntukan berkenaan merangkumi inisiatif promosi yang menyeluruh, latihan dan penyelarasan untuk jawatankuasa kerja serta penyediaan peralatan sukan bagi memenuhi semua piawaian teknikal dan pertandingan ditetapkan oleh Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) bagi memastikan penganjuran sukan itu mencapai standard tinggi.

“Stadium Sarawak akan menjadi tuan rumah majlis perasmian Sukan SEA 2027, sekali gus memperlihatkan keupayaan negeri dan menyediakan platform dalam menonjolkan budaya, perpaduan dan kemajuan Sarawak.

“Lebih daripada sekadar simbolik, acara ini dijangka memberi manfaat sosioekonomi jangka panjang melalui sektor pelancongan, liputan media dan penglibatan komuniti, dengan penambahbaikan stadium yang dirancang memastikan legasi sebagai venue utama,” katanya ketika penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Karim berkata Sarawak terus mempergiat usaha menjadi "kuasa sukan” di Malaysia melalui pembangunan berfokus terhadap atlet, jurulatih dan sistem sukan.

Beliau berkata sukan keutamaan telah ditetapkan di seluruh negeri, disokong dengan pengenalpastian bakat secara sistematik di sekolah dan kelab, latihan berintensiti tinggi, pendedahan kepada pertandingan, serta peningkatan berterusan terhadap Sistem Pengurusan Sukan Bersepadu (IGMS).

“Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) kini mengendalikan 290 pusat pembangunan sukan melibatkan 5,983 atlet dan 295 jurulatih. 

“Sepanjang tahun ini, SSC telah melaksanakan pelbagai program pembangunan dalam pelbagai sukan, disokong oleh pendidikan kejurulatihan berterusan dan inisiatif pengenalpastian bakat,” katanya.

Abdul Karim berkata sebanyak 54 atlet Sarawak telah dipilih mewakili Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025 dalam pelbagai acara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan