SUKAN > BERITA

SARAWAK SEMAK SEMULA KADAR SEWAAN KEMUDAHAN SUKAN

11/02/2026 06:27 PM

SIBU, 11 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak akan mengkaji semula kadar sewaan kemudahan sukan di bawah seliaan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) yang dilihat terlalu tinggi dan membebankan pengguna.

Menteri  Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kadar sedia ada telah dibekukan sementara pihaknya mengadakan perbincangan dengan SSC bagi memastikan sewaan lebih munasabah.

Beliau berkata semakan itu bagi memastikan kadar sewaan lebih munasabah selaras dengan hasrat Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu kemudahan sukan dapat diakses semua lapisan masyarakat, termasuk penduduk luar bandar.

Jika kadar terlalu tinggi, penduduk kampung sukar untuk menyewa kemudahan yang disediakan. Oleh itu, kita akan menilai semula kadar yang lebih berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan Mini Selangau di sini, hari ini.

Abdul Karim turut memaklumkan terdapat kemudahan sukan yang dibina kerajaan tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana kadar sewaan tinggi, termasuk maklum balas daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya.

Berhubung persiapan Sarawak sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027, beliau berkata kerja naik taraf pelbagai venue sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap tiga hingga empat bulan sebelum temasya  dijadual berlangsung pada September 2027.

Antara fasiliti terlibat ialah Stadium Sarawak serta venue bagi wushu, menembak, memanah, skuasy, tenis, petanque, renang dan golf.

Terdahulu, Abdul Karim berkata projek Kompleks Sukan Mini Selangau bernilai RM11.5 juta dijangka siap sepenuhnya pada November 2027 selepas tertangguh akibat isu reka bentuk, tapak dan kewangan kontraktor dan kini ia disusun semula dengan kontraktor baharu dan tempoh pembinaan ditetapkan selama dua tahun. 

Beliau berkata kemudahan yang akan dibina termasuk trek larian, padang bola sepak mengikut piawaian FIFA dan Olimpik serta grandstand berkapasiti 300 penonton.

Abdul Karim turut berkata kementerian juga meneliti cadangan menambah kemudahan lain seperti futsal dan sukan komuniti, selain menyediakan pagar bagi mengelak vandalisme dan kecurian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan