SUKAN > BERITA

MSN IKTIRAF UM SEBAGAI PUSAT LATIHAN SUKAN TEMPUR KEBANGSAAN

02/12/2025 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) dan Universiti Malaya (UM) mencapai persetujuan menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) itu sebagai pusat latihan kebangsaan bagi sukan tempur.

MSN dalam kenyataan memaklumkan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak telah berlangsung di UM di sini hari ini.

“MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin dan Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman,” menurut kenyataan itu.

Jefri dalam kenyataan sama berkata MSN amat menghargai kesediaan UM untuk menjadi pusat latihan kebangsaan dan ia akan dimanfaatkan dengan menempatkan atlet-atlet pelapis negara.

“MSN berterima kasih kepada UM yang turut bersetuju menyediakan penginapan, pusat latihan dan kemudahan perkhidmatan sains sukan,” katanya.

Jefri berkata atlet-atlet pelapis yang dikenal pasti untuk ditempatkan di pusat latihan berkenaan juga akan dipilih berdasarkan kepada kelayakan mereka mengikuti pengajian di universiti tertua negara itu.

Menerusi memorandum yang ditandatangani pada hari ini, Jefri berkata UM bersetuju menawarkan syarat kemasukan yang lebih fleksibel kepada atlet dalam program MSN selain kemudahan lain seperti pengecualian kredit aktiviti kokurikulum serta cuti untuk mengikuti kejohanan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata MSN juga bercadang membuka peluang itu untuk dinikmati oleh atlet-atlet dari negeri-negeri yang turut memenuhi syarat kelayakan.

Turut ditawarkan menerusi MoU yang diterajui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE) MSN ialah kemudahan untuk atlet melanjutkan tempoh pengajian demi memastikan perkembangan sebagai atlet tidak terjejas selain pelbagai fasiliti bertaraf tinggi dimiliki UM yang boleh digunakan sepenuhnya oleh atlet pelapis kebangsaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan