SUKAN > BERITA

164 ATLET PULAU PINANG TERIMA INSENTIF PROGRAM PACE BERJUMLAH RM175,377

06/12/2025 01:13 PM

GEORGE TOWN, 6 Dis (Bernama) -- Sebanyak 164 atlet negeri menerima insentif di bawah program Penang Athlete Career and Education (PACE) 2025 melibatkan peruntukan RM175,377.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Si Zen berkata daripada jumlah berkenaan, 31 atlet menerima Insentif Pendidikan institusi pengajian tinggi (IPT), Biasiswa Sukan (21), Skim Kebajikan Atlet Negeri Pulau Pinang (SKAN) (dua atlet) serta 110 atlet lagi di bawah inisiatif Skim Sukan Awam Penang 2030 (SAP2030).

“Penyampaian insentif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan atlet dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi kecemerlangan dalam bidang sukan dan pendidikan.

“Selain itu, ia turut menunjukkan bahawa kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap keperluan atlet bukan sahaja ketika mereka berada di puncak kerjaya sukan, tetapi juga dalam memastikan kesejahteraan serta hala tuju masa depan mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif PACE dan Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) 2025 di sini hari ini.

Selain insentif PACE, Gooi berkata 19 atlet yang menyertai Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) XXII Sarawak 2025 turut menerima imbuhan menerusi Skim Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS) berjumlah RM24,800.

Turut disampaikan ialah insentif RM12,000 kepada atlet catur Loo Pin Xie yang cemerlang dalam Temasya Sukan Orang Pekak Asia Tenggara (SEA Deaf Games) edisi kedua di Jakarta, Indonesia.

Gooi berkata penghargaan diberikan itu bukan sahaja mencerminkan apresiasi kerajaan negeri terhadap kejayaan dicapai tetapi turut berperanan sebagai dorongan kepada para atlet untuk terus meningkatkan prestasi, memperkukuh komitmen dan mengekalkan kecemerlangan pada masa hadapan. 

Sementara itu, beliau berkata dalam memastikan pembangunan sukan negeri terus maju ke hadapan, kerajaan negeri juga sedang memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, pusat latihan berprestasi tinggi, agensi kerajaan persekutuan serta sektor swasta.

Beliau berkata ia juga bertujuan memastikan atlet Pulau Pinang dapat menikmati ekosistem latihan yang lebih moden, akses kepada kemudahan berkualiti dan peluang peningkatan kemahiran setanding dengan amalan terbaik antarabangsa. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan