SUKAN > BERITA

KETUA JURULATIH TFC DIBERI PELUANG HINGGA TAMAT PUSINGAN PERTAMA LIGA SUPER

03/12/2025 09:56 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali diberi peluang sehingga tamat pusingan pertama Liga Super untuk memperbaiki prestasi pasukan berkenaan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berkata TFC masih mempunyai baki tiga perlawanan sebelum pusingan pertama liga melabuhkan tirainya pada penghujung Disember ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu berkata buat masa ini khidmat jurulatih berusia 49 tahun itu masih diteruskan, namun prestasinya sentiasa dipantau serta dinilai oleh jawatankuasa teknikal kelab TFC.

“Sebenarnya pusingan pertama tidak habis lagi dan sasaran atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang kami tetapkan kepada beliau ialah untuk berada dalam kelompok lima teratas liga musim ini.

“Jadi (ketua jurulatih) masih berada pada landasan yang betul cuma prestasi pasukan tidak konsisten dan kami memahami kemarahan serta keresahan peminat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Penajaan International Golden Monsoon Ride & Run (IGMRR) 2025 di sini hari ini.

Hishamuddin bagaimanapun berkata sebarang pertukaran jurulatih atau perubahan lain dalam tempoh berbaki tiga perlawanan itu dianggap tidak sesuai untuk dijalankan.

“Jadi, kami akan tengok selepas tamat pusingan pertama macam mana (kedudukan ketua jurulatih),” katanya.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata sebanyak 4,200 peserta dari seluruh Malaysia, Thailand dan Singapura akan menyertai IGMMR 2025 yang bakal berlangsung dari 19 hingga 20 Dis ini.

Beliau berkata sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada penganjuran kejohanan edisi keenam dengan hadiah keseluruhan melebihi RM150,000. 

“Acara yang dipertandingkan termasuk lelaki elit, lelaki terbuka, lelaki veteran terbuka, wanita terbuka dan wanita junior terbuka, lelaki individu terbuka, wanita individu terbuka, lelaki junior individu terbuka, Terengganu lelaki tertutup Terengganu dan lelaki veteran tertutup Terengganu.

“Bagi memeriahkan kejohanan, IGMRR 2025 turut menganjurkan aktiviti berkonsep karnival yang melibatkan pameran, jualan, sukan jalanan, program kebudayaan yang dijangka menarik kunjungan 15,000 orang,” katanya.  

   -- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan