KUALA TERENGGANU, 6 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mengakui kecewa selepas misi pasukan untuk meraih tiga mata penuh tidak kesampaian, apabila sekadar terikat 1-1 dengan Kuching City FC (KCFC) pada saingan Liga Super malam tadi.
Pengendali berusia 49 tahun itu berkata, kesilapan pemain yang terlalu memberi ruang kepada lawan pada separuh masa pertama menjadi punca skuad Penyu gagal memberikan cabaran lebih sengit.
Selain itu, beliau berkata pemain turut hilang fokus sehingga menjejaskan corak permainan dan kedudukan TFC dalam kelompok lima teratas Liga Super.
“Saya sangat kecewa kerana gagal meraih tiga mata di tempat sendiri. Pada babak pertama, pemain seperti tidak menunjukkan keinginan untuk menyerang dan menjaringkan gol.
“Sehingga saya terpaksa menegur dan mengingatkan mereka bahawa kami memerlukan tiga mata bagi memastikan kedudukan dalam lima teratas liga. Secara keseluruhan, semua pemain beraksi di bawah kemampuan sebenar,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.
Sementara itu, pengendali The Cats Aidil Sharin Sahak berkata beliau berpuas hati dapat membawa pulang satu mata daripada perlawanan di tempat lawan.
Menurutnya, anak buahnya menampilkan persembahan terbaik untuk memastikan KCFC tidak pulang dengan tangan kosong ketika menentang pasukan kuat seperti skuad Penyu.
“Mereka (pemain) sudah memberikan yang terbaik dan maksimum, namun sudah tentu TFC bukan lawan yang mudah.
“Kami datang ke Terengganu untuk mendapatkan satu mata. Alhamdulillah, kami berjaya meraih mata tersebut dan akan terus fokus memperbaiki prestasi pasukan bagi perlawanan akan datang,” katanya.
KCFC kini berada di tangga ketiga liga dengan 21 mata daripada 10 perlawanan, manakala TFC di kedudukan kelima dengan 15 mata hasil 10 perlawanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial