GEORGE TOWN, 6 Dis (Bernama) -- Pulau Pinang telah mengenal pasti beberapa venue untuk dipertimbangkan bagi enam acara sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Si Zen berkata Pulau Pinang telah bersedia untuk menjadi antara empat negeri penganjur utama temasya dwitahunan itu yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 29 Sept 2027.
“Gerak kerja memang telah dimulakan sejak awal lagi tetapi kita tahu akan menganjurkan satu acara sukan sahaja iaitu snuker dan billard tetapi pengumuman Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) semalam, memaklumkan bahawa enam acara sukan akan dipertandingkan di Pulau Pinang iaitu sepak takraw, snuker dan biliard, judo, tinju, ping pong dan floorball.
“Kita tidak berdepan masalah untuk mencari venue kerana jika dilihat kebanyakannya merupakan acara sukan dalam bangunan dan Pulau Pinang memiliki banyak venue sesuai, termasuk pusat konvensyen yang lengkap dengan infrastruktur dalaman sekali gus memudahkan penganjuran tanpa perlu membangunkan kemudahan sukan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Penang Athlete Career and Education (PACE) dan Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) 2025 di sini hari ini.
Gooi berkata kerajaan negeri juga telah menyediakan peruntukan khas berjumlah RM15 juta sebagai persiapan bagi memastikan penganjuran kesemua acara itu dapat berjalan lancar serta memenuhi standard ditetapkan.
Di samping itu, beliau berkata Pulau Pinang juga tidak menghadapi kekangan dari segi penginapan kerana memiliki rangkaian hotel mencukupi termasuk hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas bagi menampung atlet, pegawai teknikal dan tetamu rasmi.
“Kita juga meneliti pengalaman penganjuran Sukan SEA di Thailand sebagai rujukan untuk memperkemas aspek operasi dan pengurusan venue bagi mengelakkan sebarang kelemahan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama rapat dengan semua persatuan sukan kebangsaan bagi memastikan setiap acara dipertandingkan mematuhi standard penganjuran ditetapkan sekali gus meningkatkan imej Malaysia sebagai tuan rumah temasya sukan berprestij itu.
Semalam, Hannah memaklumkan Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 Sept dengan pembahagian kepada empat kluster utama iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur, melibatkan 38 jenis sukan.
Sukan Para ASEAN ke-14 pula dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Okt 2027 di Kuala Lumpur, merangkumi 18 sukan termasuk renang, badminton, berbasikal, boccia dan bola keranjang berkerusi roda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial