AM > BERITA

KEMAS Perlu Lebih Berani Dan Strategik Depani Era Baharu - TPM

06/12/2025 11:44 PM

SERDANG, 6 Dis (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu melangkah lebih berani, tersusun dan strategik bagi memastikan pendidikan awal serta pembangunan komuniti luar bandar kekal relevan dalam era perubahan pesat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pemodenan pendidikan awal, keperluan pendidikan inklusif, peningkatan kompetensi tenaga kerja dan cabaran masyarakat desa masa kini menuntut KEMAS bergerak dengan pendekatan lebih menyeluruh serta tidak lagi bergantung pada kaedah lama.

“KEMAS tidak boleh berdiri di tempat yang sama… transformasi digital seperti SmartClassroom@KEMAS, peluasan TABIKA Tunas Istimewa dan pengukuhan program Pra Tahfiz membuktikan kemampuan KEMAS memodenkan pendidikan awal tanpa mengabaikan nilai, adab dan akhlak.

“Kita boleh memperbaiki bangunan, kelas dan prasarana, tetapi yang jauh lebih penting ialah roh, kualiti dan jiwa pendidikan yang kita tanamkan dalam setiap kelas KEMAS,” katanya ketika merasmikan Festival KEMAS 2025 (FesMa ’25) di MAEPS, Serdang, hari ini.

Pada majlis sama, Program Pra Tahfiz TABIKA KEMAS mencatat sejarah apabila Majlis Khatam Perdana Peringkat Kebangsaan 2025 yang menghimpunkan 2,540 kanak-kanak diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Largest Children Participation in Al-Quran (Juz Amma) Recital”. 

KEMAS dalam kenyataan memaklumkan modul Pra Tahfiz yang diperkenalkan pada 2023 kini dimanfaatkan 123,435 kanak-kanak di 10,567 TABIKA seluruh negara.

FesMa ’25 turut menampilkan Akademi Alpha Gen Talents@KEMAS, program realiti pendidikan yang memaparkan pertandingan Ikon Bitara Ilmu dan Huffaz Cilik, dengan 10 episod disiarkan di Bernama TV yang merupakan rakan penyiar rasmi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan