SUKAN > BERITA

LIGA SUPER: PDRM KALAH LAGI, TUMPAS 1-4 DI TANGAN SABAH

06/12/2025 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- PDRM FC masih belum menemui rentak dalam saingan Liga Super apabila sekali lagi tewas, kali ini kepada Sabah FC 1-4 hari ini. 

Ini merupakan kekalahan kelima berturut-turut buat anak buah Eddy Gapil selepas kali terakhir mencatatkan kemenangan ketika pertemuan dengan Kelantan The Real Warriors September lepas.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Sabah FC mendahului pada separuh masa pertama menerusi jaringan Darren Lok pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, skuad Sang Badak terus menghukum pasukan tuan rumah menerusi gol Miguel Cifuentes pada minit ke-54 dan Ajdin Mujagic selang enam minit kemudian.

PDRM cuba merapatkan kedudukan menerusi Agbre Noel yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-74 namun Sabah FC kembali melebarkan jurang apabila penyerangnya Fergus Tierney menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada penghujung permainan.

Sementara itu di Stadium Hang Jebat, Melaka FC merakam kemenangan sulung di laman sendiri selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0.

Dua jaringan itu dihasilkan penyerang import dari Brazil, Douglas de Silva sekali gus membantu tuan rumah melonjak ke tangga ke-10 selepas mengutip tiga mata.

Melaka FC memperoleh gol pertama seawal minit ketiga apabila Douglas berjaya merembat masuk gol berpunca daripada kesilapan tendangan penjaga gawang Negeri Sembilan Muhammad Azri Abdul Ghani yang berjaya dipintasnya.

Skuad bimbingan K Devan terus menggandakan asakan ke kubu lawan dan berjaya menambah jaringan sekali lagi menerusi Douglas di minit ke-26 dan keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan cuba bangkit dengan beberapa percubaan menerusi pemain import dari Bosnia Herzegovina, Jovan Motika pada minit 56 selain Luqman Hakim Shamsudin pada minit 69 namun tidak berhasil.

Pada masa tambahan Negeri Sembilan terpaksa bermain dengan sepuluh pemain selepas ketua pasukan Ahmad Khuzaimi Piee dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan dan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan