Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 8 Dis (Bernama) -- Malaysia hampir menamatkan penantian lapan tahun untuk mara ke akhir badminton berpasukan wanita sebelum tewas 2-3 kepada Indonesia pada aksi separuh akhir Sukan SEA 2025 di Pathum Thani, Thailand hari ini.
Pemain nombor 76 dunia Mutiara Ayu Puspitasari menghadiahkan mata kemenangan Indonesia dalam perlawanan kelima dengan menewaskan Siti Zulaikha Muhammad Azmi 21-18, 21-16 di Gimnasium 4, Universiti Thammasat, Kampus Rangsit.
Ketua jurulatih perseorangan wanita negara Iskandar Zulkarnain berkata Siti Zulaikha yang berada di ranking ke-91 dunia, bergelut untuk mengekalkan fokus dan kekuatan selepas rehat sebelum set kedua walaupun memulakan permainan dengan baik.
“Saya rasa fokus Siti Zulaikha sedikit menurun (selepas rehat) dan beliau tidak dapat mengekalkan kekuatan tangan untuk mengembalikan bulu tangkis,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Malaysia sebelum itu bermula perlahan apabila pemain perseorangan pertama, K. Letshanaa tewas kepada Putri Kusuma Wardani yang menghadiahkan mata pembukaan kepada Indonesia dengan kemenangan bergaya 21-9, 21-10 dalam tempoh 34 minit.
Skuad negara kembali menyamakan kedudukan menerusi beregu nombor dua dunia Pearly Tan-M. Thinaah yang menewaskan gandingan ranking ke-58 dunia Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum dengan kemenangan 21-14, 17-21, 21-16.
Pemain perseorangan kedua negara yang berada di ranking ke-44 dunia Wong Ling Ching mencatatkan kejutan terbesar menumpaskan pemain nombor 10 dunia Gregoria Mariska Tunjung 22-20, 15-21, 21-16 dalam pertarungan selama 66 minit sekali gus menjadikan kedudukan 2-1.
Ling Ching yang mengalami selesema sejak beberapa hari lepas, mengakui tidak menjangkakan keputusan itu dalam pertemuan pertama mereka.
“Saya tahu dia pemain yang baik dan berpengalaman, malah saya jangka akan kalah, tetapi pada akhirnya gembira kerana kemenangan berpihak kepada saya,” katanya.
Bagaimanapun, Indonesia memaksa aksi ditentukan dalam perlawanan penentuan apabila pasangan nombor 59 dunia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari menewaskan kombinasi sementara Go Pei Kee-Toh Ee Wei dengan keputusan 21-10, 21-9 sebelum Mutiara mengesahkan kemenangan keseluruhan.
Indonesia akan berdepan juara bertahan Thailand di perlawanan akhir untuk edisi keempat berturut-turut selepas tuan rumah menumpaskan Singapura 3-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Keputusan hari ini bermakna Malaysia secara tidak rasmi berkongsi pingat gangsa dengan Singapura dalam acara beregu wanita.
Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung secara rasmi dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial