SUKAN > BERITA

SUKMA 2026: SKUAD BERBASIKAL KELANTAN JALANI LATIHAN INTENSIF DI LUAR NEGARA

10/12/2025 03:20 PM

Oleh Azli Shafii

KOTA BHARU, 10 Dis (Bernama) -- Persatuan Berbasikal Negeri Kelantan (PBNK) merancang mengadakan latihan intensif di Chiang Rai, Thailand dan Indonesia sebagai persiapan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

Setiausaha PBNK Nohazlee Md Zaki berkata program latihan di dua negara itu bagi memperkukuh persediaan di bawah kendalian jurulatih Wan Shazwan Afiq Wan Shahril Anuar dan Mohamad Adnan Osman.

“Latihan awal sudah bermula sejak beberapa bulan lepas. Pada Mac nanti, kami akan ke Chiang Rai untuk program intensif, manakala atlet berbasikal bukit (MTB) akan ke Indonesia untuk berlatih dan menyertai perlumbaan bagi menimba pengalaman di sana,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Temasya SUKMA Selangor akan berlangsung dari 15 hingga 25 Ogos 2026, membabitkan 28 acara sukan teras dan lima acara pilihan dengan penyertaan kira-kira 10,000 atlet serta pegawai dari 15 kontinjen termasuk Brunei Darussalam.

Nohazlee berkata PBNK akan menghantar 10 pelumba, lima lelaki dan lima wanita merangkumi acara MTB, lebuh raya dan BMX.

“Bagi MTB, latihan dijalankan di trek bertaraf antarabangsa di Bukit Bakar, Machang. Latihan lebuh raya pula dilakukan di sekitar Kota Bharu dan Jeli.

“Majlis Sukan Negeri Kelantan menyediakan peruntukan latihan dan pertandingan, selain turut disokong penajaan tempatan,” katanya.

Beliau mengakui PBNK berdepan kekangan dari segi peralatan, khususnya basikal lumba berteknologi baharu, namun tetap optimis Kelantan mampu menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik berdasarkan prestasi konsisten pelumba di kejohanan tempatan.

“Kami sasarkan kedudukan 10 terbaik keseluruhan dari segi kutipan pingat, dan pencapaian sebelum ini membuktikan atlet kami mampu berada di podium,” katanya.

Nohazlee berkata tumpuan utama Kelantan adalah pada acara downhill wanita, dengan sasaran membawa pulang satu pingat emas dan satu gangsa.

“Pingat emas disasarkan menerusi Nurul Azlina Mohd Razali, manakala Natasya Syamimi Irwan berpotensi meraih gangsa dalam acara MTB downhill.

“Kedua-duanya menunjukkan prestasi konsisten. Nurul Azlina meraih perak di SUKMA 2024 di Sarawak dan muncul juara Downmall Challenge 2025 di Kuala Lumpur. Natasya pula berada di tempat keempat pada SUKMA 2024 dan meraih tempat ketiga di Kejohanan MTB Downhill Kelantan Challenge 2025,” katanya.

Kelantan sebelum ini pernah meraih pingat emas dalam acara MTB XCO SUKMA Selangor menerusi Shahrom Abdullah, selain pingat perak kriterium SUKMA 1992 di Johor serta pingat perak dan gangsa pada SUKMA Sarawak 1990.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan