Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 11 Dis (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengarahkan pengarah kejurulatihan perseorangan serta beregu negara Kenneth Jonassen dan Rexy Mainaky segera menjalankan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti punca aksi longlai skuad badminton lelaki negara pada final Sukan SEA Thailand 2025, semalam.
Malaysia sekali lagi kempunan pingat emas acara berpasukan lelaki selepas tewas kepada Indonesia 0-3 pada perlawanan akhir berlangsung di Gimnasium 4, Universiti Thammasat, Kampus Rangsit semalam.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas pada edisi 2005 di Filipina.
Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata pascanilai itu perlu dijalankan segera kerana skuad negara akan berdepan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2026 (BATC) di Qingdao, China pada 3 hingga 8 Feb tahun depan.
“Pertama sekali, memang satu keputusan mengecewakan dan memang kita kena buat sesuatu yang drastik.
“Jadi saya percaya selepas ini, kedua-dua pengarah kejurulatihan perlu kaji balik, lakukan pascanilai sebenarnya apa yang berlaku untuk pastikan perkara sebegini tidak berulang lagi terutamanya dalam persiapan menghadapi Kejohanan BATC pada Februari nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kenny yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia Sukan SEA Thailand 2025 berkata demikian ketika meninjau aksi skuad taekwondo negara di pusat beli-belah Fashion Island, di sini.
Walaupun hampa dengan keputusan tersebut, beliau berharap agar para pemain kembali fokus dalam saingan individu yang bermula hari ini hingga Ahad.
BAM meletakkan sasaran empat emas pada temasya dwitahunan edisi kali ini.
Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial