SUKAN > BERITA

PERCUBAAN MUHAMMAD SYAFIQ TUKAR KATEGORI TIDAK BUAHKAN HASIL

11/12/2025 08:49 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 11 Dis (Bernama) -- Percaturan atlet taekwondo negara Muhammad Syafiq Zuber yang menukar kategori daripada lelaki bawah 80 kilogram (kg) ke bawah 87kg tidak membuahkan hasil selepas gagal membawa pulang emas pada Sukan SEA Thailand 2025, di sini.

Muhammad Syafiq tewas kepada wakil tuan rumah Chaichon Cho, 10-5, 3-8, 5-10, pada saingan akhir di pusat beli-belah Fashion Island, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Pemenang pingat emas dua kali lelaki bagi kategori bawah 80kg pada edisi 2021 dan 2023 itu berkata keputusan untuk mencuba kategori baharu bermula tahun ini dibuat bersama jurulatihnya selepas merasakan peluang memenangi emas pada Sukan SEA kali ini tinggi.

“Saya sudah cuba yang terbaik, namun bukan rezeki saya kali ini. Selepas mendahului pada pusingan pertama, saya melakukan kesilapan sehingga lawan mudah membaca pergerakan saya,”katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata akan berusaha memperbaiki prestasi dengan menambah baik aspek fizikal dan memperkemaskan teknik bagi tampil lebih kuat pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan